fbpx
URWATUL WUSQA tidak berhasrat untuk menjadi penyanyi biarpun mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.

Gadis Kampus: Urwatul Wusqa jana pendapatan menerusi TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DILAHIRKAN dalam keluarga yang terlibat aktif dalam seni persembahan nyanyian, ternyata telah mempengaruhi minat gadis berusia 22 tahun itu.

Sejak umur lima tahun, Urwatul Wusqa Baharudin sering mengikut bapa dan bapa saudaranya berlatih menyanyi di studio serta membuat persembahan di majlis keramaian.

Dari situlah, Urwatul Wusqa mula berminat serta mengasah bakatnya dalam bidang nyanyian terutamanya di dalam studio milik keluarganya sendiri di Kuala Selangor.

Selepas memasuki alam persekolahan, bakat Urwatul Wusqa semakin terserlah apabila dia mula melibatkan diri dalam pelbagai persembahan melibatkan seni suara.

“Saya aktif menyanyi sejak kecil kerana selalu melihat ahli keluarga membuat persembahan terutama di majlis kenduri. Ketika di sekolah rendah, seorang guru berjaya mengesan bakat saya.

“Bermula dengan pertandingan syair, kemudian saya terlibat dalam nasyid, pidato, pengacara majlis serta menyanyi bersama band,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Minat dalam seni suara diteruskan oleh anak bongsu daripada tiga beradik itu ketika melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi dan ijazah sarjana muda di Universiti Malaya (UM).

SELAIN menyanyi, Urwatul Wusqa juga berbakat dalam bidang pengacaraan majlis.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina, UM itu sering dijemput untuk membuat persembahan sama ada di peringkat kolej kediaman atau universiti.

“Di UM, saya memilih untuk bergerak secara solo berbanding band. Kalau ada aktiviti keramaian seperti majlis konvokesyen, pihak pengurusan akan menjemput saya untuk membuat persembahan.

“Saya pernah pergi kelas atau latihan khusus untuk nyanyian, tetapi apabila ada persembahan, saya akan mempersiapkan diri dengan melakukan latihan vokal di studio milik bapa,” terangnya lagi.

Menurut Urwatul Wusqa, menyanyi juga merupakan terapi terbaik baginya mengurangkan tekanan belajar sewaktu di kampus. Selain itu, gadis berkenaan turut terlibat dalam bidang peragaan.

Ulasnya, dia baru saja berjinak-jinak dalam bidang peragaan selepas dipelawa oleh ibu saudaranya yang juga seorang pemilik butik pakaian.

“Saya terlibat bidang peragaan ini selepas ibu saudara minta saya jadi model kepada pakaian di butiknya. Tahun ini pun saya ada dapat lagi dapat tawaran berkenaan,” katanya.

Selain itu, Urwatul Wusqa aktif memuat naik pelbagai video menarik dalam media sosial, terutamanya TikTok dengan jumlah pengikut mencecah 87,000.

Pada masa sama, gadis berkulit mulus itu mendapat permintaan membuat rebiu berbayar sama ada produk mahu pun perkhidmatan daripada pelbagai jenama terkemuka tempatan.

“Saya ‘main’ TikTok ini bagi mengisi masa lapang sahaja. Tidak sangka saya boleh mengumpul pengikut yang ramai menerusi video-video yang dimuat naik termasuk nyanyian.

“Daripada situ, saya banyak terima permintaan buat rebiu berbayar daripada beberapa jenama. Setiap bulan saya boleh jana pendapatan sekitar RM600 hingga RM700 hasil daripada TikTok,” katanya.

Meskipun sibuk dengan aktiviti luar, namun Urwatul Wusqa tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai mahasiswa dalam usahanya mengejar impian sebagai perancang bandar.

Tegasnya, cita-cita berkaitan bidang pengajiannya itu lebih relevan buat masa sekarang berbanding nyanyian mahu pun bergelar pempengaruh media sosial yang hanya menjurus kepada minat.

“Insya-Allah, selepas tamat pengajian, saya akan berusaha mendapatkan pekerjaan berkaitan bidang pengajian ketika ini.

“Saya tidak mempunyai hasrat untuk menjadi penyanyi,” tegasnya.

POPULAR