fbpx

PPZ-MAIWP lancar kerjasama strategik dengan RHB Islamic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) telah melancarkan kerjasama strategik untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan zakat kepada masyarakat melalui pendekatan holistik.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, melalui kerjasama tersebut, beberapa program dan kempen bakal dilaksanakan, antaranya termasuk Kempen Semarak Zakat, Skim Kafalah Muzakki (Khairat Kematian) bagi kakitangan RHB, dan Kempen Pelanggan Mewah RHB. 

Menurutnya, di bawah Kempen Pelanggan Mewah RHB, para pelanggan mewah RHB yang membuat bayaran zakat sebanyak RM25,000 dan ke atas akan berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan istimewa seperti konsultasi zakat dan faraid serta peluang untuk memilih sendiri ke mana agihan zakat mereka disalurkan mengikut pakej agihan yang disediakan.

“PPZ-MAIWP dan RHB Islamic juga akan saling berkongsi maklumat, pengetahuan serta pandangan bagi menyokong kewujudan platform untuk perkongsian ilmu dan idea mengenai pelaksanaan zakat di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis pelancaran kerjasama tersebut.

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali.

Pada majlis berkenaan, RHB Islamic turut menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1 juta kepada PPZ-MAIWP bagi tahun kewangan berakhir 2021.

Abdul Hakim menerangkan, kerjasama strategik ini akan menjadi pemangkin untuk membina entiti perniagaan yang berdaya maju dan seterusnya membolehkan syarikat menerima pulangan dividen yang lebih tinggi sekali gus meningkatkan bayaran zakat pada tahun-tahun akan datang.

“Kami mengunjurkan lebih banyak penglibatan dari kalangan kakitangan sektor swasta untuk menunaikan zakat secara potongan gaji melalui Skim PZB. 

“Justeru itu, saya menyeru kepada majikan-majikan agar memberi galakan kepada kakitangan untuk berbuat demikian. Majikan juga boleh mendapat pengembalian semula wang zakat untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan dan mereka yang kurang berkemampuan,” katanya. KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI