fbpx

Nicol David suntik semangat atlet UPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NICOL (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Dr. Tajularipin.

KELAB Skuasy Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Akademi Sukan UPM mengadakan program perlawanan akhir dan majlis perasmian penutupan bagi Kejohanan Sirkit Skuasy Tertutup UPM 2022 baru-baru ini.

Kejohanan tersebut adalah pertandingan skuasy bersiri yang telah berlangsung sebanyak tiga sirkit.

Sirkit I berlangsung pada 9 Januari, Sirkit II pada 23 Januari dan Sirkit III pada 27 Mac lalu yang turut berlangsungnya perlawanan akhir dan perasmian penutup kejohanan tersebut.

Seramai 70 orang hadir pada majlis tersebut terdiri daripada atlet, staf akademi sukan dan pelajar UPM.

Perlawanan akhir yang berlangsung pada tarikh itu membabitkan tiga kategori dipertandingkan pada tahun ini iaitu Divisyen 1, 2 dan 3.

Menariknya, majlis berkenaan dirasmikan oleh Ratu Skuasy negara, Datuk Dr. Nicol Ann David yang juga merupakan pengasas dan Ketua Jurulatih Nicol David Organisation.

Dalam ucapan perasmian, Nicol meluahkan rasa bangga terhadap Kelab Skuasy UPM atas kejayaan menganjurkan kejohanan skuasy yang begitu hebat.

“Saya berasa bangga serta teruja kerana kesemua peserta dan penonton yang hadir pada majlis ini menunjukkan minat terhadap sukan skuasy.

“Saya percaya dan yakin, dengan adanya kejohanan seperti ini, masyarakat di luar sana akan lebih mengenali dan tertarik dengan sukan skuasy,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Akademi Sukan UPM, Prof. Madya Dr. Tajularipin Sulaiman dan Penasihat Kelab Skuasy UPM, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Skuasy UPM, Muhammad Fauzi Md. Hairi berkata, kejohanan tersebut merupakan satu inisiatif untuk mencungkil bakat-bakat yang ada dalam kalangan pelajar universiti terbabit terhadap sukan skuasy.

SEBAHAGIAN ahli Kelab Skuasy UPM tidak melepaskan peluang bergambar dengan Nicol (berdiri tengah) pada majlis Kejohanan Sirkit Skuasy Tertutup UPM 2022 baru-baru ini.

Katanya, ia juga dapat dijadikan sebagai platform bagi atlet berkenaan untuk bermain secara kompetitif.

“Diharapkan acara tahunan itu dapat memberi peluang kepada para atlet skuasy menimba sebanyak mungkin pengalaman sebelum menyertai sebarang kejohanan selepas ini.

“Kejohanan seumpama ini sangat penting bagi memastikan para atlet UPM sentiasa bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi sebarang kejohanan pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis itu juga, turut berlangsung sesi interaksi antara Nicol dengan para hadirin.

Mereka dapat mendengar secara terus perkongsian, pengalaman serta nasihat daripada bekas pemain skuasy nombor satu dunia itu.

SALAH satu perlawanan akhir sirkit skuasy yang diadakan di UPM.

Menerusi aktiviti tersebut, ia diharap dapat menyuntik semangat kepada atlet skuasy UPM untuk berusaha dengan gigih bagi mengecapi kejayaan lebih besar.

Atlet kebangsaan yang berjaya memenangi kejohanan tersebut bagi Divisyen 1 ialah Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif yang dinobatkan sebagai Best Player of The Tournament.

Ujarnya, dia bukan sahaja gembira berjaya memenangi kejohanan tersebut, malah berasa teruja apabila perlawanan akhir itu disaksikan oleh idolanya dalam sukan skuasy.

“Saya berasa gembira atas kehadiran Nicol menyaksikan perlawanan akhir. Saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau sejak kecil. Saya juga selalu menyaksikan perlawanan beliau bersama keluarga,” katanya.

Salah seorang peserta, Muhammad Amir Zakwan Mohd. Zailani pula tidak menyangka berjaya meraih gelaran Rookie of The Tournament pada kejohanan yang pertama kali disertainya itu.

Katanya, anugerah yang diberikan kepada pemain muda yang menunjukkan persembahan dan peningkatan luar biasa sepanjang kejohanan itu menjadikannya lebih bersemangat dan lebih gigih berusaha.

“Saya sama sekali tidak menyangka dapat meraih anugerah ini. Ia satu titik permulaan untuk berusaha lebih baik bagi meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Saya sangat berharap, kejayaan ini mampu memberi inspirasi serta menarik minat rakan-rakan lain di UPM untuk sama-sama menceburi sukan skuasy,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI