fbpx

Luluskan segera kemasukan pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia digesa untuk segera meluluskan permohonan kemasukan pekerja asing bagi sektor-sektor berkaitan agar usaha pemulihan ekonomi dapat diteruskan dengan baik.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, banyak sektor yang terjejas apabila tenaga kerja berkurang, apatah lagi kerana pekerja asing juga mewakili sebahagian besar sektor dan industri di negara ini.

“Dari restoran mamak, industri pembuatan, perladangan, perkilangan dan perkhidmatan, semuanya dikatakan terkesan disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk mengekalkan kemampanan sehingga mengakibatkan kerugian.

“Begitu juga dengan sektor pembinaan yang dikatakan mengalami kenaikan kos pada bahan binaan disamping kekurangan tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut menggesa Kementerian Sumber Manusia dan pihak berkaitan menyegerakan proses kelulusan bagi permohonan-permohonan pekerja asing dalam negara.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk mengurangkan karenah birokrasi, mempermudahkan dan menambah baik proses kelulusan bagi menampung keperluan pekerja melibatkan industri-industri terdesak seperti pembuatan dan peladangan.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, sektor sawit, pembinaan dan pembuatan berdepan isu kekurangan pekerja yang serius sehingga menjejaskan pendapatan pengusaha dan hasil cukai kerajaan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan segera menyelesaikan isu kekurangan 72,000 pekerja dalam industri perladangan kerana masalah itu akan menjejaskan daya saing negara dengan negara-negara jiran lain. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI