PETALING JAYA – Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza dibebaskan selepas ditahan polis susulan satira monyet memakai tengkolok yang dimuat naiknya di laman Twitter kelmarin.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Fahmi Reza atau nama sebenarnya Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin, 45, menerusi hantaran di Twitternya sebentar tadi.
Dalam hantaran itu, Fahmi Reza turut memberi empat bintang terhadap layanan yang diterima semasa ditahan.
“Aku dah ‘check-out’ dari Hotel Dang Wangi! Pakej penginapan dua hari satu malam ‘courtesy of Mojo Jojo! Great location, perfect vibes, and amazing hospitality!
“Makan sedap siap dapat percuma sahur dan iftar yang dihantar ke bilik aku. ‘Would love to return in the future!’ aku bagi empat bintang,” ciapnya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Fahmi Reza ditahan kelmarin berhubung hantaran karikatur monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning yang dimuat naik di laman sosialnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan oleh unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5) dibawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – KOSMO! ONLINE