Ada orang berkata, seorang janda tidak perlukan wali jika ingin berkahwin. Sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut, adakah wali hanya diwajibkan kepada anak dara?
Jawapan:
Jumhur (majoriti) ulama mensyaratkan wali dalam akad nikah sama ada anak dara atau janda, kecuali Mazhab Hanafi yang tidak mensyaratkan wali.
Pendapat jumhur itu dari segi dalil lebih kukuh, namun perincian pelaksanaannya berlaku khilaf dalam kalangan ulama.
Pendapat yang tidak mensyaratkan persetujuan wali pula berbeza tentang penerangan lanjut bab tersebut.
Apa yang menjadi pendapat terpilih dalam Mazhab Hanafi adalah, jika wanita berkahwin tanpa wali dan suami itu sekufu, maka sah nikahnya.
Jika tidak sekufu maka tidak sah. Pendapat lain pula, sah nikah sekiranya wanita itu memang tidak mempunyai wali, tetapi tidak sah jika dia mempunyai wali.
Hujah utama jumhur yang mensyaratkan wali ialah firman Allah: (maksudnya) “Jangan kamu (wali-wali wanita) menghalang mereka mengahwini (bekas) suami-suami mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 232)
Jika wali bukan syarat sah, mengapa perlu Allah melarang mereka dari enggan mengizinkan pernikahan?
Ini menunjukkan, keabsahan akad nikah bergantung kepada persetujuan wali.
Dalam hadis pula, Nabi s.a.w bersabda: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batil, nikahnya batil dan nikahnya batil,” (Riwayat al-Daraqutni dll. Sahih).
Perlu kita faham, peranan wali adalah untuk menjamin keselamatan wanita apabila memasuki kehidupan di bawah jagaan pihak lain (suami).
Di samping itu, pernikahan juga menjadi penghubung antara keluarga wali dengan keluarga suami anak perempuannya. Sudah pasti dia wajar mempunyai hak dalam membuat persetujuan.
Maka berdasarkan pendapat jumhur, wanita janda iaitu yang telah berkahwin dan bersetubuh tetap disyaratkan wali semasa akad nikah.
Cumanya, berdasarkan hadis-hadis Nabi s.a.w, wali tidak mempunyai hak untuk menentukan pilihan wanita janda.
Seorang janda berhak sepenuhnya menentukan siapakah pilihannya dengan membuat persetujuan secara jelas.
Maksudnya, walinya tidak boleh menikahkannya sekalipun dengan yang sekufu sehinggalah jelas dia bersetuju.
Jika dia ingin berkahwin dengan seseorang, walinya hendaklah bersetuju.
Jika wali enggan, dia tetap berhak untuk berkahwin dengan wali yang lain, atau wali hakim.
Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w: “Janda lebih berhak ke atas dirinya dibandingkan walinya,” (Riwayat Muslim, al-Nasai, Abu Daud dll).
Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarahkan hadis di atas: “Ketahuilah bahawa ungkapan ‘lebih berhak’ di sini menunjukkan perkongsian. Maksudnya, bagi janda itu hak dirinya dalam nikah dan walinya juga ada hak.
Namun, haknya lebih kuat dibandingkan hak walinya. Jika walinya ingin menikahkannya dengan lelaki yang sekufu, tetapi dia tidak mahu, maka dia tidak boleh dipaksa.
Jika dia ingin bernikah dengan lelaki yang sekufu, walinya enggan mengizinkan, maka walinya itu dipaksa untuk setuju.
“Jika berterusan enggan setuju, kadi menikahkannya,” (Syarh Sahih Muslim, 9/204. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
Kesimpulannya, janda tetap perlu wali, tetapi tidak boleh ditentukan pilihan oleh walinya.
Jika walinya menolak pilihannya, dia tetap boleh dikahwinkan juga dengan wali seterusnya atau wali hakim.














