fbpx

Dr. Tengku Ezulia pakar ENT pesohor media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAKAR telinga, hidung dan tekak ini mahu memanfaatkan ilmu serta kepakaran yang dimiliki untuk membantu orang di sekeliling.- Foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

FIGURA ini sering menjadi tumpuan wanita-wanita tempatan baik yang berkerjaya mahupun suri rumah.

Dikurniakan seraut wajah ayu dan berpengalaman luas sebagai pakar dalam bidang telinga, hidung dan tekak (ENT), menjadikan pemilik nama Dr. Tengku Ezulia Tengku Nun Ahmad ini dikagumi ramai.

Berkesempatan bersua dengan personaliti berusia 36 tahun ini, melihatkan dirinya yang tegas dan bijak menyusun kata biarpun dalam nada lembut membuatkan kami faham mengapa dirinya sering dijadikan idola.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini boleh dikatakan seorang wanita serba boleh, memandangkan selain menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dia juga seorang doktor pakar di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara dan pesohor media sosial.

Imej dibawanya itu berjaya membuktikan kaum wanita masa kini boleh berjaya dalam pelbagai bidang diceburi dan dijadikan contoh serta pembakar semangat kepada orang lain.

“Sejak bergelar doktor pelatih lagi, memang meminati cabang ini kerana ia sesuai dengan saya. Tambahan pula selain keluarga terdekat, masalah ini sering dialami oleh komuniti sekeliling.

“Saya sendiri dihujani pelbagai pertanyaan berkaitan ENT sejak menceburkan diri dalam perubatan.

“Jadi, saya berasakan ia memberi banyak manfaat kepada orang lain, terutamanya pesakit dan keluarga sendiri,” ceritanya.

Bertugas sebagai pakar bedah telinga, hidung dan tekak semestinya berisiko tinggi bagi dirinya terutamanya di musim pandemik.

Akuinya, dia tidak gentar berdepan dengan situasi tersebut memandangkan ia merupakan cabaran yang sudah diketahui sejak pandemik melanda.

“Bidang ini memang berisiko. Ketika vaksin Covid-19 diberikan dahulu pun, kami merupakan antara yang terawal divaksin.

“Saya tidak pernah berasa takut untuk jumpa pesakit kerana sudah terbiasa. Malahan saya bersyukur dan gembira apabila melihat pesakit yang dirawat sembuh.

“Tidak kira apa pun situasi, pesakit sering menjadi keutamaan saya. Apa yang kita boleh elakkan adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka dan mencuci tangan,” katanya.

Sebagai pakar ENT, khidmatnya sering diperlukan dalam menyelamatkan pesakit Covid-19.

DR. TENGKU EZULIA aktif di TikTok berkongsi pelbagai isu mengenai permasalahan kesihatan telinga, hidung dan tekak.

Kongsinya, ketika di awal pandemik beberapa tahun lalu, dia pernah beberapa kali terlibat dalam melakukan pembedahan kepada pesakit Covid-19.

Biarpun pada waktu itu dia hamil cahaya mata kembar, namun wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini langsung tidak gentar.

Sebaliknya berusaha sehabis boleh untuk menyelamatkan nyawa individu yang bergantung harap kepadanya.

“Selalunya pembedahan dilakukan kepada pesakit yang tidak dapat bernafas. Kami akan memasukkan tiub ke dalam saluran pernafasan mereka.

“Bagaimanapun, pada waktu itu kami perlu memakai PAPR (alat pernafasan pembersih udara berkuasa) bagi memastikan keselamatan diri,” ujarnya.

Sebagai pesohor media sosial dengan pengikut seramai 201,000 orang di Instagram dan 147,000 pengikut di TikTok, Dr. Tengku Azulia bijak menggunakan platform itu sebagai wadah berkongsi maklumat berkaitan ENT.

Perkongsian itu juga menyebabkan ramai yang menjadikan platform media sosialnya sebagai tempat rujukan.

Katanya, kebanyakan topik yang diulas dipilih secara rawak dan adakalanya diminta oleh orang ramai kerana mahu menyuntik kesedaran individu terhadap satu-satu penyakit.

Biarpun sibuk dengan kerjaya, namun wanita ini mampu menjalankan kesemua tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN