Masjid Al Busyra di Merbok, Kedah bukan sahaja mempunyai ruang solat yang selesa, malah menawarkan pelbagai kemudahan diperlukan seorang musafir bak sebuah hentian Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya dengan binaan tanpa pagarnya jelas mengalu-alukan kehadiran para pengguna jalan raya.
Selain itu, masjid berkenaan juga mempunyai tempat mencuci kereta dan mesin snek layan diri serta kedai untuk kemudahan pada jemaah yang datang bersolat.
Ia turut dilengkapi 10 pili air telaga wakaf bagi kemudahan para pelawat dan penduduk tempatan mendapatkan bekalan air bersih.
Masjid Al Busyra giat memperkasa ekonomi Islam dan penduduk setempat dengan menjalankan beberapa cabang perniagaan secara kecil-kecilan.
——————————————————————————————————————————————————————————————————
SABAN hari, lelaki berusia 35 tahun itu berulang alik sejauh 60 kilometer dari rumahnya di Sungai Yan, Kedah ke tempat kerjanya yang terletak di Bertam, Pulau Pinang.
Kebiasaannya, Shahrul Ambri Samsuddin menggunakan jalan lama yang menghubungkan Yan-Sungai Petani memandangkan laluan tersebut lebih dekat selain dapat menjimatkan kos tol.
Setiap kali menggunakan laluan itu terutama selepas pulang kerja, Shahrul Ambri sering singgah di Masjid Al Busyra, Merbok untuk menunaikan solat asar serta melepaskan lelah.
“Selalunya, pukul 4.30 petang saya sudah balik kerja bagi mengelak kesesakan teruk. Disebabkan itu, saya tidak sempat menunaikan solat asar di tempat kerja.
“Jadi, saya selalulah singgah di masjid ini untuk menunaikan solat dan berehat sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah di Sungai Yan,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Shahrul Ambri yang merupakan seorang anggota keselamatan berkata, masjid itu amat selesa untuk dijadikan lokasi persinggahan.

Jelasnya, rumah Allah terletak di tepi jalan itu bukan sahaja mempunyai ruang solat selesa, malah menawarkan pelbagai kemudahan lain yang diperlukan seorang musafir sepertinya.
“Masjid ini tidak ubah seperti sebuah hentian Rehat dan Rawat (R&R) yang terdapat di atas lebuh raya. Semua ada di sini terutamanya tandasnya yang luas dan bersih.
“Masjid ini juga ada kemudahan lain seperti lot kedai makan untuk mengisi perut atau membasahkan tekak. Paling penting masjid ini tidak berkunci seperti di sesetengah tempat,” ujarnya.
Baru-baru ini, sebuah video tular dalam media sosial menunjukkan Masjid Al Busyra menjadi pilihan orang ramai kerana menawarkan kemudahan mesra musafir seperti tempat cuci kereta dan mesin snek layan diri.
Susulan video tular itu, netizen berharap inisiatif yang dilakukan masjid berkenaan memberikan inspirasi kepada pengurusan masjid-masjid lain di negara ini.
Masjid itu juga telah diuar-uarkan sebagai ‘masjid R&R’ pertama di Kedah.
Untuk makluman, pembinaan masjid berkonsepkan mesra musafir itu diilhamkan sendiri oleh Imam Masjid Al Busyra, Ustaz Mohd. Firdaus Mat Akhir, 34, selepas dia dilantik sebagai peneraju pada Oktober 2019.
Sebaik dilantik menjadi imam, Mohd. Firdaus telah memasang impian untuk menjadikan masjid berkenaan sebagai sebuah tempat yang boleh memberi manfaat kepada semua orang.
Ujarnya, idea menjadikan Masjid Al Busyra sebagai mesra musafir atau berkonsepkan R&R disebabkan lokasinya terletak di tepi jalan utama yang menghubungkan antara Sungai Petani dengan Yan dan Tanjung Dawai.

“Berdasarkan pengalaman sendiri, sebagai musafir, saya banyak melihat kekurangan yang terdapat pada setiap masjid di negara ini. Daripada situlah, saya dapat ilham berkaitan konsep masjid ini,” katanya lagi.
Pada peringkat awal cadangan, idea Mohd. Firdaus telah dipersoalkan oleh ahli jawatankuasa masjid, sebelum akhirnya mendapat persetujuan mereka selepas diberikan penjelasan.
Projek menaik taraf masjid di atas tanah wakaf seluas 1.3 hektar itu bermula pada tahun 2019, namun terpaksa dilakukan secara perlahan disebabkan masalah kekurangan modal.
Rentetan itu, pihak AJK masjid telah memulakan gerakan memohon sumbangan daripada anak-anak kariah serta orang ramai menerusi platform media sosial bagi memastikan projek berkenaan berjalan seperti dirancang.
“Sewaktu projek ini bermula, duit tabung masjid ada sekitar RM80,000 sahaja. Tetapi kami nekad untuk meneruskannya juga kerana saya cukup yakin dengan pertolongan daripada Allah SWT.
“Alhamdulillah, apabila struktur rangka masjid naik, ramai yang hadir memberi sumbangan. Dalam tempoh dua bulan sahaja, kami berjaya kumpul RM450,000 daripada sumbangan ramai.
“Sehingga kini, kos pembinaan masjid ini telah mencecah RM1.8 juta. Semuanya diperoleh hasil sumbangan orang ramai, kami tidak guna langsung duit kerajaan negeri atau Pusat,” katanya.
Menariknya, Mohd. Firdaus turut memanfaatkan kebolehannya menghasilkan video sebelum dimuat naik ke dalam media sosial seperti Facebook dan TikTok.
Mohd. Firdaus yang juga seorang Penolong Pegawai di Lembaga Zakat Negeri Kedah berkata, video dihasilkannya telah tular di dalam media sosial sekali gus meningkatkan hasil sumbangan orang ramai.

“Kami dilihat terlalu agresif guna duit masjid kerana mahu memanfaatkan infak orang ramai. Sebenarnya, masyarakat mahu tengok apa yang kami buat dengan duit yang mereka infak itu,” terangnya.
Menerusi konsep mesra musafir, Masjid Al Busyra mempunyai beberapa perbezaan ketara berbanding masjid-masjid lain terutama dari aspek kedudukan tandas dan sistem berpagar. Masjid itu tidak ‘dikepung’ dengan tembok atau pagar.
Mohd. Firdaus berkata, pihaknya bersetuju menempatkan tandas masjid itu di bahagian depan serta merobohkan pagar dan tembok bagi memberi ruang lebih selesa untuk orang ramai singgah.
“Saya dapati kebanyakan tandas masjid di negara ini terletak di bahagian belakang, ia akan menyusahkan musafir. Jadi, saya merancang memudahkan golongan itu dengan membina sebuah tandas di depan masjid.
“Tandas kami ini bukan saja luas dan selesa, malah bersih. Tandas di masjid ini bahkan telah terpilih mewakili negara untuk dicalonkan pada Anugerah Standard Tandas Awam peringkat ASEAN,” katanya lagi.
Masjid berkenaan turut dilengkapi 10 pili air telaga wakaf bagi kemudahan para pelawat dan penduduk tempatan mendapatkan bekalan air bersih.
Dalam pada itu, Masjid Al Busyra giat memperkasa ekonomi Islam dan penduduk setempat dengan menjalankan beberapa cabang perniagaan secara kecil-kecilan.

Antara perniagaan dijalankan di masjid itu adalah percetakan baju, fotostat, tempat cuci kereta, mesin snek layan diri, batu nisan, jualan makanan dan minuman.
Setiausaha Masjid Al Busyra, Johari Husain, 62, berkata, masjid tersebut boleh disifatkan sebagai satu pusat sehenti kepada segala keperluan.
“Perniagaan yang baru sahaja dibuka ialah pasar raya, medan selera, kafe selain sebuah rumah tumpangan bernilai RM1 juta yang bakal dibina dalam masa terdekat.
“Ketika ini, kami ada lima lot kedai makan dengan kos sewaan serendah RM2 sehari kepada kariah. Kami juga menyediakan tapak bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini. Ia merupakan sebahagian usaha kami membantu ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Masjid yang mampu memuatkan seramai 620 jemaah pada satu-satu masa itu turut memiliki sebuah pejabat urusan. Jelas Johari, pihaknya menggaji lapan orang pekerja yang bertanggung jawab berkaitan pengurusan, keselamatan dan kebersihan masjid.

DI masjid ini, terdapat kedai yang menjual pelbagai makanan dan minuman.
Mengenai kehadiran pelawat, Johari berkata, jumlah musafir boleh mencecah ratusan orang terutama ketika hujung minggu atau musim cuti sekolah.
“Kami menerima begitu ramai musafir yang datang bersama keluarga atau kumpulan konvoi motosikal atau kereta. Mereka singgah untuk ke tandas, solat atau menjamu selera.
“Ini kerana kedudukan masjid ini terletak berhampiran lokasi tarikan pelancong seperti Tanjung Dawai, Pantai Murni, Tupah dan Sungai Petani,” ujarnya lagi.














