PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu kenyataan bersama hari ini.
“Ini merupakan susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri Sabah, dengan kebanyakan terma dipersetujui pada 14 Februari 2022.
“Persetujuan ini juga merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat adalah pada tahun 1969,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.
Menurut mereka, persetujuan kajian semula baharu itu merangkumi beberapa perkara.
Mereka berkata, perkara pertama adalah amaun pemberian khas baharu kepada Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda iaitu daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.
“Ia akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama,” katanya.
Perkara seterusnya, menurut mereka, adalah kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah akan terus berunding berhubung dengan tuntutan 40 peratus daripada hasil negeri Sabah.
Mereka memaklumkan, turut akan dijalankan adalah kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada Sabah bermula 2022,” ujar mereka.
Ismail Sabri dan Hajiji berkata, persetujuan itu adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Jelas mereka, ia dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan serta keperluan kerajaan negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri.
“Kerajaan negeri Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Pelaksanaan kajian semula pemberian khas ini termasuk hak kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Selain, menurut mereka, kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan serta keperluan kerajaan negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut. – KOSMO! ONLINE














