PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menerima 1,280 permohonan daripada luar negara bagi membuka bisnes sepanjang 2020 dan 2021.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu hasil penambahbaikan diperkenalkan melalui Sistem Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (BLESS) versi 2.0.
“Permohonan menerusi sistem ini dilihat telah mempermudahkan proses permohonan syarikat asing serta menarik minat ramai pelabur luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
BLESS 2.0 ujarnya, merealisasikan konsep Ease of Doing Business, Revolusi Perindustrian 4.0 dan pendigitalan negara dengan prosedur permohonan syarikat dari luar ditambah baik.
Permohonan dilakukan secara atas talian yang mampu menampung dan mempercepatkan proses semakin meningkat akhir-akhir ini sekali gus menarik pembukaan banyak cawangan.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, sejumlah 573 syarikat asing memohon bagi menjalankan perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di seluruh Malaysia pada dua tahun itu.
“Perniagaan mereka didapati sebagai meliputi bidang peruncitan, pengedaran, makanan dan minuman dengan jumlah kumulatif modal berbayar yang sebanyak RM11.383 bilion,” katanya. -KOSMO! ONLINE