PUTRAJAYA – Pemeriksaan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas projek pembinaan sebuah jeti kayu bernilai RM50,000 di Kampung Mutap di Miri, Sarawak yang tular baru-baru ini tidak menemui sebarang unsur rasuah.
Menurut sumber, Ibu Pejabat SPRM di sini telah mengarahkan SPRM Sarawak untuk meneliti projek di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri itu, susulan dakwaan kos yang mahal seperti dibangkitkan orang ramai.
“Hasil semakan yang dilakukan mendapati tiada sebarang unsur rasuah atau penyelewengan yang terlibat dalam pembinaan jeti tersebut.
“Kayu yang digunakan untuk membina jeti berkenaan juga didapati memang benar kayu belian selepas penelitian dibuat oleh pakar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan, JKR bahagian Miri menjelaskan bahawa harga bagi pembinaan jeti kayu bernilai RM50,000 yang menjadi perdebatan ‘hangat’ di media sosial sejak kelmarin adalah wajar.
Jelasnya, jambatan yang terletak di Kampung Mutap, Bekenu, Miri itu dibina menggunakan kayu belian yang bermutu tinggi dan harganya pula mahal selain mengambil kira pelbagai faktor lain seperti logistik dan langkah keselamatan. – KOSMO! ONLINE