fbpx

PU Amin, PU Riz kini pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji & Umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIS (kiri) dan Amin kini bergelar pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy.

PETALING JAYA – Misi mahu melihat lebih ramai anak muda terbabit dalam pengajian pelancongan Islamik menyebabkan pendakwah selebriti popular, PU Amin bersetuju dilantik sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy.

PU Amin atau nama sebenarnya, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim yang telah tiga tahun berkhidmat sebagai pensyarah kanan di YEG Academy, berbesar hati dapat berkongsi pengalamannya bertugas sebagai mutawif bersama anak-anak muda.

“Saya berpengalaman dalam bidang umrah dan menjadi mutawif selama sembilan tahun. Pendidikan adalah salah satu bidang yang dekat dengan jiwa saya.

“Justeru, saya terima tawaran ini dan mahu berkongsi manfaat bersama para pelajar. Tambahan trend hari ini lebih ramai orang muda menunaikan umrah, jadi permintaan terhadap mutawif muda cukup tinggi,” ujar PU Amin.

Disoal tentang kelayakkannya untuk menjadi pensyarah kanan pengkhususan tersebut, jelas PU Amin selain mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Mesir dia juga memiliki ijazah sarjana dari Open University Malaysia dalam bidang Pengajian Islam.

“Kelayakan untuk menjadi pensyarah kanan di kolej sudah mencukupi dan tiada isu. Berbeza jika universiti awam untuk menjadi pensyarah kanan kelayakan yang diperlukan adalah Doktor Falsafah (PHD),” tutur PU Amin.

Selain PU Amin, seorang lagi pendakwah selebriti, PU Riz atau Haris Ismail turut dilantik sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji & Umrah tersebut pada tahun ini.

Pengasas YEG Academy, Hasan Ithnin berkata, pemilihan dua pendakwah selebriti berkenaan bukanlah kerana popularti semata-mata, sebaliknya mereka turut berkongsi perjuangan yang sama dengan pihaknya.

“Pihak kami tidak mengambil mereka berdua sebab popular sahaja, tetapi kami duduk berbincang dan melihat misi kehidupan yang diingin dalam kehidupan.

“Malah, kami mewujudkan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah ini bukan kerana wang semata-mata, sebalik terdapat perjuangan yang perlu diteruskan sebagai orang Islam.

“Insya-Allah dengan adanya gandingan PU Amin dan PU Riz yang merupakan dua tokoh muda diharap pihak kami dapat melahirkan anak-anak muda yang luar biasa dalam pengajian ini,” ujar Hasan.

Menariknya, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy akan dihantar ke Mekah dan Madinah untuk menjalani latihan industri di sana bersama syarikat pelancongan islamik terkemuka seperti Andalusia Travel and Tours.

“YEG Aacademy adalah kolej pertama yang menghantar pelajar menjalani latihan praktikal di Mekah dan Madinah. Setakat ini kami mempunyai 500 orang pelajar yang sedang dan akan menjalani latihan industri di sana secara berperingkat,” kata Hasan.

Diploma Pengurusan Haji dan Umrah adalah salah satu pengkhususan bidang di bawah kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangantersalahpilihbidang yang dilancarkan semalam di Royale Chulan Damansara, Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI