fbpx

‘Kami bukan umur 12 tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIQ KYLE dan Mimi Lana.

ADAT pasangan bercinta ada ketika menyulam bahagia, ada waktu bertentang pendapat, namun hakikatnya perselisihan yang diuruskan dengan baik mampu menguatkan lagi sesebuah perhubungan.

Bagi selebriti yang sudah lama bergelar kekasih, tentu saja mereka sentiasa berada dalam radar tumpuan ramai, terutama bagi yang ingin melihat artis pujaan ke jenjang pelamin.

Begitupun, tidak semua personaliti popular gemar berkongsi sisi peribadi apatah lagi hal percintaan yang dirasakan lebih wajar jadi privasi.

Aktor Syafiq Kyle dan kekasih hati, Mimi Lana antara sosok tersohor yang begitu kemas menyimpan kisah cinta biarpun rata-rata mengetahui hubungan mereka cukup serius.

HUBUNGAN Syafiq Kyle dan Mimi Lana pernah teruji, namun keteguhan perasaan meranumkan semula persefahaman walau berterusan digamit gosip liar. Akui Kyle, mereka semakin serius menuju fasa seterusnya.

SYAFIQ dan Mimi Lana.

Enggan layan gosip

Namun lumrah selepas kehidupan menjadi sorotan, waima sekecil-kecil perkara apatah lagi andai tersebar gosip tentu saja menjadi perhatian seperti desas-desus kononnya buah hati aktor tersebut sudah punya kekasih baharu.

Enggan memanjangkan spekulasi, Syafiq menganggap gosip hubungannya dengan Mimi yang didakwa netizen sudah berakhir sebagai perkara tidak berfaedah untuk dilayan.

Katanya, mereka bukan kanak-kanak berusia 12 tahun yang perlu melayan isu remeh sebegitu, sebaliknya masing-masing sudah matang dalam melalui kehidupan dan percintaan.

“Kadang-kadang kalau jadi macam ini, bukan saya tak nak jawab tetapi saya jadi malu dan segan.

“Kita bukan umur 12 tahun. Esok lusa dah nak kahwin.

“Takkan mahu layan benda (gosip) macam itu lagi?

SYAFIQ menjelaskan, cukuplah peminat tahu bahawa hubungannya dengan Mimi Lana kini sedang bergerak ke fasa yang lebih serius.

“Mungkin lima tahun lepas saya boleh layan dedas-desus begitu tapi sekarang dia sudah jadi ‘cringe’ (sesuatu yang memualkan).

“Jadi bagi saya selagi kami berada dalam hubungan yang baik. Alhamdulillah.

“Lebih elok kita kongsi cerita yang lebih berfaedah kerana untuk isu sekecil itu dan tidak mendatangkan manfaat dan saya enggan ambil peduli sebenarnya sebab cuma buang masa,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta aplikasi myIOU.

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata demikian bagi mengulas khabar angin, kononnya Mimi sudah ada kekasih baharu.

Menurut bintang Pusaka itu, hakikatnya peminat tegar juga tidak ambil pusing berhubung hal peribadi seperti tanggapan sesetengah pihak yang suka ‘memperbesarkan’ gosip sedemikian.

“Jujurnya, peminat yang sering memberi sokongan kepada kerja saya sendiri tak pernah bertanyakan soal perhubungan atau hal peribadi membabitkan cinta.

“Mereka sangat memberi inspirasi dengan tidak henti menyuntik semangat malah sepanjang mengenali mereka, peminat saya cuma nak tahu perkembangan tentang kerjaya.

“Kalau ada pun soalan seperti itu, yang bertanya pun hanyalah keluarga terdekat saya.

“Bagi peminat, sudah cukup jika mereka tahu saya dan Mimi bahagia,” katanya.

SAMA seperti Syafiq, Mimi Lana juga sudah bersedia untuk melangkah ke alam berumah tangga. Tinggal lagi, masa yang akan menjadi penentu.

Sedia jadi suami

Bercakap tentang kesediaannya ke arah fasa berumah tangga, biarpun sudah bersedia menjadi suami, Syafiq mahu menangguhkan hasrat berkenaan bagi memberi laluan terhadap lakonan dan komitmen kerjaya yang padat.

“Jujurnya, saya sudah bersedia menjadi ketua keluarga dan ada zuriat sendiri. Namun, saya tidak berani hendak cakap bila tarikhnya kerana kami masih merancang.

“Apa pun saya berharap peminat terus mendoakan kelancaran kerjaya seni saya supaya memudahkan kami untuk menyusun perancangan seterusnya (kahwin) pada masa akan datang,” ulasnya ringkas.

Terdahulu, hubungan cinta antara Syafiq dan Mimi yang terjalin sejak 2015 pernah bergelora pada pertengahan 2020, namun kembali bertaut.

Laris jadi duta produk

Mengenai pelantikan sebagai duta aplikasi myIOU, aktor berusia 30 tahun itu mengakui berbesar hati masih menjadi pilihan sebagai duta bagi produk atau penyedia perkhidmatan.

Katanya, walau sibuk dengan jadual penggambaran selepas semua sektor dapat beroperasi sepenuhnya usai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tetap ambil peluang

untuk memacu kerjaya di dalam pelbagai cabang.
Tambah jejaka yang popular menerusi drama Nur itu, dalam rancak berada di set atau menjadi duta, dia turut mempelajari kerja belakang tabir bagi menambah ilmu.

“Tahun lepas saya menjadi wajah kempen, alhamdulillah tahun ini mereka melantik saya menjadi duta dengan kontrak selama setahun bermula bulan ini hingga Februari tahun depan.

“Seronok melaksanakan tanggungjawab sebagai duta kerana pada masa sama kita turut belajar perkara baharu selain berpeluang bertemu pelbagai golongan apabila turun padang.

“Macam sekarang boleh dikatakan saya kena susun jadual sebaik mungkin supaya segala amanah dapat disempurnakan.

“Memang mencabar tetapi saya seronok,” tambah Syafiq yang bakal muncul dengan sebuah filem berjudul One Cent Thief.

SYAFIQ KYLE kini lebih banyak menerima tawaran menjayakan filem aksi, namun pada masa, pelakon yang popular menerusi drama Nur itu tidak pernah mengatakan ‘tidak’ terhadap tawaran drama cinta untuk siaran televisyen.

Kisah benar

Bertemu sendiri dengan lelaki yang wataknya diabadikan dalam naskhah berkenaan, Syafiq berbesar hati kerana mendapat gambaran sebenar karakter lakonannya.

Kata pelakon yang kebelakangan ini menyerlah dengan kisah genre aksi, peranan yang diamanahkan kepadanya dalam filem berkenaan memberikan lebih berkeyakinan kepadanya untuk menjayakan setiap karakter.

Pada masa sama, Syafiq bukanlah enggan lagi terbabit dalan naskhah drama khususnya, karya bertemakan cinta.

“Macam yang saya katakan, saya bukan selektif tetapi kebetulan selepas filem Pusaka, tawaran yang diberikan kepada saya lebih kepada filem aksi dan lasak.

“Menerusi karya sebegitu, saya pun pada masa sama banyak belajar kerja belakang tabir.

“Buat masa ini pula jadual penggambaran serta komitmen tugasan lain agak ketat, tetapi siapa tahu jika ada rezeki dan tawaran nanti ditambah waktu yang tepat saya dapat muncul dalam drama lagi,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI