ALOR SETAR – Sebanyak RM12.6 bilion harta pusaka di negara ini masih tertunggak dan berdaftar atas nama pemilik yang sudah meninggal dunia disebabkan sikap sambil lewa waris si mati yang enggan menuntut segera harta berkenaan selepas berlaku kematian.
Selain itu, perbalahan dalam kalangan ahli keluarga dan jumlah pewaris terlalu ramai sehingga menyukarkan lagi proses tuntutan juga menjadi antara punca masalah tersebut berlaku.
Mengikut data terkini Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), sebanyak 72,348 kes harta pusaka masih tertunggak di seluruh negara dengan Kedah mencatatkan kes tertinggi iaitu 13,424, diikuti Selangor (10,358) dan Johor (9,062).
Ketua Pengarah JKPTG, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain berkata, sikap acuh tidak acuh masyarakat dalam pengurusan harta pusaka dapat dilihat apabila mereka hanya akan membuat tuntutan sekiranya harta itu hendak dijual atau berlaku pengambilan balik tanah.
“Pada masa itu, banyak masalah berlaku seperti sukar untuk mendapatkan dokumen, waris bertambah disebabkan kematian berlapis dan lain-lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
JKPTG terletak di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang bertanggungjawab menguruskan harta pusaka bernilai di bawah RM2 juta menerusi Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.
Muhammad Azmi memberitahu, ketidakfahaman masyarakat mengenai kaedah dan prosedur pengurusan harta pusaka serta perbalahan dalam kalangan ahli keluarga juga menjadi penyumbang kepada tunggakan itu.
“Ia berlaku apabila waris tidak mahu memberi kerjasama untuk menghadiri perbicaraan dan enggan memberi persetujuan dalam pembahagian harta.
“Kebanyakan waris tidak memahami hukum faraid, menyebabkan penyelesaian pusaka menjadi rumit dan lambat,” ujarnya.

Sementara itu, berhubung kes tunggakan harta pusaka yang tinggi di Kedah, kata beliau, ia banyak melibatkan tanah sawah kerana terdapat ramai penama dalam satu lot.
“Kebanyakan kes terpaksa ditangguhkan kerana maklumat waris tidak lengkap seperti waris tidak dapat dikesan akibat kematian yang berlapis, dokumen tidak diperoleh kerana waris tidak memberikan kerjasama selain pertelingkahan dalam kalangan waris sendiri.
“Selain itu, tunggakan juga berlaku kerana pihak kami menerima permohonan yang banyak iaitu antara 5,000 hingga 6,000 kes di negeri itu pada setiap tahun,” jelasnya.
Muhammad Azmi berkata, jumlah pegawai dan kakitangan yang terhad turut menyebabkan tunggakan harta pusaka tidak dapat diselesaikan mengikut piagam Bahagian Pembahagian Pusaka.
Katanya, selain daripada menyelesaikan kes baharu, mereka juga perlu menyelesaikan kes tunggakan menyebabkannya semakin bertambah.
“Kami pernah menguruskan kes yang melibatkan kematian pada tahun 1940-an yang mana berlaku kematian berlapis seterusnya bilangan waris yang ramai sehingga 85 orang,” katanya.
Menurutnya, jumlah permohonan bagi pembahagian harta pusaka yang diterima setiap tahun meningkat pada kadar 4 hingga 6 peratus kecuali pada 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19 termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, jumlah permohonan pembahagian harta pusaka yang diterima pada 2016 sebanyak 58,185 kes, 2017 (60,307) 2018 (64,466), 2019 (67,282), 2020 dan 2021 pula masing-masing 55,781 dan 43,509 kes.
“Sebanyak 34,437 kes pembahagian harta pusaka berjaya diselesaikan tahun lalu dan 72,348 kes harta pusaka masih tertunggak di seluruh negara,” katanya.
Ketika ditanya sekiranya harta pusaka berkenaan gagal untuk diuruskan, kata beliau, harta si mati akan dipindahkan ke Pendaftar Wang Tak Dituntut oleh institusi kewangan yang berkenaan jika tidak aktif melebihi tempoh tujuh tahun.
Sehubungan itu, katanya, KeTSA melancarkan Program Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka di peringkat negeri yang menumpukan penyelesaian tunggakan kes secara bersasar.
Menurutnya, selain itu, rasionalisasi penempatan pegawai daripada Unit Petugas Khas JKPTG dan pengambilan tambahan kakitangan secara perkhidmatan kontrak turut dilakukan bagi menangani kes tunggakan yang sedia ada.














