fbpx

Chacha Maembong pernah mahu toreh tangan, cederakan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHACHA MAEMBONG

PETALING JAYA – Pelakon Chacha Maembong mendedahkan pernah berdepan tekanan yang amat teruk hingga terdetik mahu mencederakan diri sendiri sebagai jalan penyelesaian.

Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail berkata, tekanan tersebut datang daripada gosip yang tidak benar yang dilemparkan terhadap dirinya ketika awal kerjayanya sebagai pelakon.

“Beberapa tahun lalu saya pernah mengalami tekanan amat hebat apabila ada gosip liar tiba-tiba timbul tentang diri saya.

“Walhal saya langsung tak buat seperti apa yang diperkatakan. Ketika itu saya baru hendak kenal dunia dan disebabkan cerita sebegitu, saya pernah terfikir hendak cederakan diri sendiri.

“Ya, cederakan diri sampai terfikir mahu toreh pergelangan tangan menggunakan pisau sebab dah terlalu tertekan dengan mulut-mulut orang,” katanya.

Chacha ditemui Kosmo! Online pada majlis Ad Hoc Raya 2022 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WCTKL) petang semalam.

Tambah Chacha, 26, dia bagaimanapun bersyukur kerana cepat sedar dan tahu masih ada insan yang sayangkan dirinya, sekali gus berhenti daripada melakukan tindakan bodoh tersebut.

Pelakon drama Cukup Derita Itu ini berkata, apa yang berlaku selama ini membuatkan dirinya lebih matang berdepan fitnah dan gosip liar pada masa akan datang.

“Bagi saya ini adalah lumrah dan apa yang perlu saya telan sebagai seorang artis apabila segala tindakan akan menjadi perhatian serta tidak mudah untuk memuaskan hati semua pihak.

“Perkara tersebut menjadi pengajaran dan buatkan saya lebih matang dalam berfikir serta melakukan sebarang tindakan.

“Bukan mudah hendak puaskan hati semua walau saya cuba untuk mengikut apa kehendak orang lain ketika itu. Jadi cara paling mudah, jalani sahaja hidup seperti biasa,” ujarnya yang kini lebih berhati-hati memilih kawan agar tidak terpedaya dengan talam bermuka dua.

Terdahulu, adik kepada pelakon popular Emma Maembong ini pernah dihimpit dengan pelbagai kontroversi seperti ditaja golongan orang kenamaan (VIP) selain video berparti dengan hanya berbikini di Bali, Indonesia yang tersebar beberapa tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI