PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku melibatkan lapan negeri di Semenanjung petang ini.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), cuaca buruk tersebut diramal berlarutan sehingga pukul 4 petang nanti.
“Ia melibatkan kawasan Barat Daya dan Timur Laut Pulau Pinang serta kawasan Hulu Perak, Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kampar, Manjung dan Kinta di Perak.
“Di Kelantan membabitkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Terengganu melibatkan Besut, Setiu dan Hulu Terengganu,” katanya.
Sementara itu, keadaan sama turut diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Pahang iaitu Tanah Tinggi Cameron, Raub, Lipis dan Bentong.
“Di Selangor, cauca buruk dijangka berlaku di Gombak, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor serta keseluruhan kawasan Kuala Lumpur.
“Selain itu, di Negeri Sembilan pula melibatkan Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jelebu dan Jempol,” ujarnya.
Tambah MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter sejam. – KOSMO! ONLINE













