PETALING JAYA – Seorang wanita tidak boleh berkahwin dengan bekas bapa tirinya walaupun lelaki tersebut telah bercerai dengan ibunya.
Menjelaskan perkara itu, Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkata, ini kerana wanita tersebut telah menjadi mahram kepada bekas bapa tirinya.
Menurut beliau, keadaan itu berlaku apabila lelaki itu telah bersetubuh dengan ibunya semasa kedua-duanya masih sebagai suami isteri.
“Kalau bapa tiri itu telah bersetubuh dengan ibu wanita itu, maka mereka telah menjadi mahram dan haram berkahwin. Walaupun bapa tiri itu telah bercerai dengan ibunya, ia tetap haram.
“Ini adalah undang-undang dan hukum syarak yang telah ditetapkan, bagaimanapun bapa tiri ini tidak boleh menjadi wali kepada wanita tersebut,”katanya di laman Facebook.
Tambah Fahmi, sekiranya wanita tersebut telah ‘terkahwin’ dengan bekas bapa tirinya wajib kedua-duanya difaraq perkahwinan tersebut atau dinamakan juga sebagai “pemisahan kehakiman”.
“Tidak kisahlah apa situasi perkahwinan mereka sama ada tidak tahu berkenaan isu ini atau telah berkahwin secara sindiket di Siam (Thailand).
“Kedua-dua mereka perlu berpisah kerana syarat sah nikah itu adalah seorang lelaki tidak boleh ada pertalian mahram dengan wanita yang ingin dikahwininya. Ini kerana ia tidak sah disisi hukumnya dan perlu difaraqkan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE