AMPANG – Hasrat 13 keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Bukit Permai 2, di sini bulan lalu untuk menyambut Aidilfitri di kediaman masing-masing punah selepas lokasi itu masih diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki.
Ini rentetan kejadian tanah runtuh pada 10 Mac lalu yang mengakibatkan 28 keluarga di lokasi tersebut terjejas, manakala 13 keluarga terpaksa mengosongkan kediaman mereka.
Seorang penduduk, Asmah Md. Taib, 72, berkata, jauh di sudut hati, dia menyimpan hasrat untuk menyambut Aidilfitri di rumahnya di Taman Mega Jaya selepas dua tahun menyambutnya dalam keadaan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hasrat nak sambut raya di rumah sendiri macam tak ada harapan, setakat ini saya masih tak dibenarkan pulang dan tinggal di rumah sendiri atas faktor keselamatan.
“Memang rasa lain bila kali pertama nak sambut raya bukan di rumah sendiri. Namun, saya reda dengan ujian ini dan kami juga rancang sambutan Aidilfitri kali ini dilakukan secara sederhana sahaja,” ujarnya kepada Kosmo! semalam.
Berita berkaitan: Tanah runtuh: 15 rumah rosak, 4 mangsa tertimbus
Pesara kerajaan itu berkata, kediaman yang diduduki sejak 36 tahun lalu itu tidak selamat diduduki ekoran mengalami kerosakan pada bahagian pagar rumah dan juga keretakan pada bahagian bilik stor.
“Banyak kos yang diperlukan untuk proses baik pulih kerosakan itu. Sebelum kejadian, rumah itu baru sahaja selesai dibaik pulih yang dilakukan secara berperingkat sejak 2020 hingga menelan kos yang tinggi.
Rumah lama banyak yang rosak,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali Abdullah, 61, turut meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri di kediaman yang diduduki sejak 30 tahun lalu.
Ujar pesara kerajaan itu, dia berhasrat menyambut Aidilfitri di rumah salah seorang anak di Seremban, Negeri Sembilan.
Berita berkaitan: ‘Ramai sukar tidur lena takut tanah runtuh’
“Sejak insiden tanah runtuh, saya dan isteri sudah berpindah dan tinggal bersama salah seorang anak, bahkan saya langsung tak pulang ke rumah berkenaan. Hanya anak yang pulang untuk ambil barang dan pantau keadaan rumah.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 23, Mohammad Samat berkata, setakat ini masih kekal 28 buah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh itu.
“Setakat ini belum ada arahan terbaharu daripada pihak berkuasa dan emosi penduduk juga masih terjejas. Mungkin ada taklimat berkenaan isu ini dalam masa terdekat, apa pun kita tunggu nanti,” katanya ringkas.
Kosmo! pada 10 Mac lalu melaporkan, empat mangsa terkorban dan seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.