fbpx
SEMASA berenang, otot-otot dan tulang rangka individu melakukan gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota tangan dan kaki sekali gus merangsang sistem kardiovaskular. – GAMBAR HIASAN

Mengapa kita perlu pandai berenang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bencana banjir nampaknya kian sinonim di Malaysia. Apabila bah terjadi, dalam masa yang amat singkat, mangsa banjir perlu berjuang menyelamatkan diri dan ahli keluarga.

Bagi yang tidak pandai berenang, mereka terpaksa menunggu kedatangan bot penyelamat tiba.

Berdasarkan rekod, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2021, terdapat 181 insiden lemas direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Daripada jumlah itu, sebanyak 171 kes kehilangan nyawa dicatatkan.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah.”

Berenang merupakan antara aktiviti yang dilakukan untuk merehatkan minda dan membantu mengurangkan tekanan. Aktiviti ini tidak memerlukan kos tinggi dan merupakan aktiviti kedua popular sebagai kaedah senaman dinamik selepas aktiviti berjalan kaki. Ia sesuai dilakukan semua peringkat umur, bermula seawal usia empat tahun.

Berenang amat digemari kebanyakan rakyat Malaysia apabila bercuti untuk menyejukkan badan di samping bergembira bersama-sama keluarga. Ia mewujudkan persekitaran sosial yang sihat dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup. Berdasarkan kajian, aktiviti menyeronokkan di dalam air yang tenang memberikan kesan positif kepada psikologi seseorang.

Semasa berenang, otot-otot dan tulang rangka kita ditugaskan membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan tangan yang merangsang sistem kardiovaskular. Ayunan tangan terkawal ini meningkatkan pengambilan oksigen maksimum dengan menggunakan organ diafragma.

Pengambilan nafas panjang yang berulang kali semasa ayunan ini membuatkan kadar jantung menjadi selari dengan pernafasan dan menyebabkan pengeluaran endorfin iaitu hormon penenang semula jadi oleh otak.

Berenang juga adalah salah satu latihan kardio untuk membakar kalori dan sesuai bagi pesakit dengan berat badan berlebihan atau obesiti, terutama yang menghidapi arthritis iaitu sakit sendi. Daya apungan bukan sahaja membolehkan pergerakan dinamik dilakukan bersama-sama regangan otot, namun turut mengurangkan 80 peratus beban graviti pada sendi seperti lutut dan pinggul sekali gus merendahkan risiko kemudaratan pada bahagian itu.

Berenang turut digalakkan bagi sesi pemulihan daripada kecederaan ringan. Aktiviti berenang tidak memerlukan pembawaan berat badan sendiri semasa bergerak, tidak seperti aktiviti kardio lain misalnya berjalan, berlari atau berbasikal. Sebaliknya, ketika berenang, kita menggunakan hampir seluruh otot. Oleh itu, pembakaran kalori berlaku di setiap bahagian badan dengan berkesan terutama lemak di perut apabila dilakukan secara berterusan selama 15 hingga 20 minit.

Dalam kalangan kaum wanita pula, berenang bukan sahaja boleh dijadikan pilihan aktiviti fizikal untuk yang mempunyai berat badan berlebihan, tetapi juga yang sedang mengandung. Ini kerana, berenang tidak memberikan tahap tekanan tinggi kepada badan. Kesan urutan daripada tekanan air juga mampu menggalakkan peredaran darah dengan lebih baik di seluruh badan.

Berenang yang berintensiti senaman paling tinggi dalam kalangan senaman aerobik juga menggunakan lemak dan gula dalam badan sebagai tenaga. Jika dilakukan berterusan, ia mendorong pembakaran lemak badan, pengurangan lemak viseral dan peningkatan fungsi sistem pernafasan serta peredaran darah.

Senaman ini juga amat disyorkan untuk individu ingin berdiet kerana rintangan air boleh menyahkan kalori secara seimbang kerana pergerakan berlaku di seluruh bahagian badan, sekali gus menghasilkan bentuk badan unggul kepada perenang.

Sekiranya pergerakan sama dilakukan, pengurangan kalori semasa berenang di dalam air adalah kira-kira dua kali ganda daripada di daratan.

Penghidap penyakit darah tinggi juga boleh menurunkan tekanan darah dengan berenang. Ini kerana, aktiviti ini menghasilkan kesan hipotensi dan peningkatan dalam fungsi vaskular kepada orang dewasa yang lebih tua dan tidak aktif. Menurut satu laporan makalah perubatan, selepas setahun berenang secara berkala, kepekaan terhadap insulin meningkat di samping penurunan tekanan darah.

Berenang juga mampu menambah baik fungsi kognitif dalam membantu perkembangan otak kanak-kanak apabila kedua-dua belah badan digunakan untuk membuat satu gerakan pola bersilang di antara dua anggota kaki dengan tangan tersebut.

Pergerakan ini boleh membina lebih banyak neuron di bahagian otak, terutama di corpus callosum. Ini akan memudahkan komunikasi dan maklum balas dari satu bahagian ke bahagian otak yang lain.

Hasilnya, kemahiran membaca, perkembangan bahasa, latihan akademik serta kesedaran ruang akan bertambah baik.

Satu kajian di Kanada mendapati latihan berenang boleh membantu meningkatkan tingkah laku kanak-kanak semasa mereka membesar.

Di United Kingdom, kelas berenang terkandung dalam kurikulum tahun satu di sekolah rendah.

Di Jepun pula, latihan keyakinan di air bermula sejak di prasekolah dan biasanya dilakukan dalam musim panas.

Kesimpulannya, berenang bukan sahaja aktiviti untuk keseronokan, tetapi juga mampu menyelamatkan nyawa dan bermanfaat bagi meningkatkan tahap kesihatan individu terutama dalam menjalani gaya kehidupan moden yang semakin kurang keaktifan.

 

PROF. MADYA IR. DR. NAZRUL ANUAR NAYAN ialah Pensyarah Kanan (Kejuruteraan Bioperubatan), Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik & Sistem, Fakulti Kejuruteran & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia.

POPULAR