fbpx

99 peratus penduduk dunia bernafas udara kotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK berjalan di Primrose Hill ketika amaran pencemaran udara dikeluarkan di London pada 24 Mac 2022. – AFP

GENEVA, Switzerland – Hampir seluruh populasi dunia atau bersamaan 99 peratus, bernafas menggunakan udara kotor yang tidak menepati standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali gus mencetuskan risiko kesihatan.

Menurut laman berita Wion News, penduduk di negara berpendapatan rendah dan sederhana terdedah kepada kadar tertinggi pencemaran partikel halus dan gas nitrogen dioksida (NO2).

Situasi itu berlaku di lebih 6,000 bandar merangkumi 117 buah negara di mana kualiti udara dipantau.

Kemas kini terbaharu data kualiti udara itu dikeluarkan menjelang sambutan Hari Kesihatan Sedunia esok. Pada tahun ini, WHO memberi tumpuan kepada kepekatan tahunan NO2 yang merupakan bahan asas dalam pencemaran udara di bandar-bandar sebelum partikel halus dan ozon.

Pada masa yang sama, WHO turut memberi tumpuan kepada keperluan untuk menurunkan kadar pencemaran udara dengan mengurangkan penggunaan bahan api fosil serta melaksanakan inisiatif kukuh.

Ini termasuk mengukur kuantiti partikel pencemaran  yang mempunyai ukuran 10 μm (PM10) atau 2.5 μm (PM10) dalam udara. Partikel itu berasal daripada aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil.

Pada tahun lalu, WHO meminda Garis Panduan Kualiti Udaranya supaya lebih terperinci bagi membolehkan negara-negara dunia menilai secara tepat kualiti udara masing-masing.

“Kebimbangan mengenai  tenaga masa kini menunjukkan betapa penting untuk kita mempercepatkan peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan sihat.

“Peningkatan harga bahan api, keselamatan tenaga dan kepen­tingan menangani pencemaran udara serta perubahan iklim memerlukan kita segera beralih kepada dunia yang kurang kebergantungan pada bahan api fosil,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Daripada 117 negara yang kualiti udaranya diukur, 17 peratus bandar-bandar di negara berpendapatan tinggi didapati mempunyai kualiti udara yang tidak menepati standard PM2.5 atau PM10 seperti yang ditetapkan oleh WHO.

Sementara itu, kurang 1 peratus bandar di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang memenuhi garis panduan kualiti udara tersebut.

Negara berpendapatan rendah dan sederhana masih terdedah kepada kadar pencemaran udara yang tinggi membabitkan NO2.

Hampir 4,000 bandar atau kawasan berpenduduk di 74 buah negara mengumpulkan data mengenai pencemaran NO2. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI