JAKARTA – Mahkamah Tinggi Bandung menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang guru tahfiz selepas didapati bersalah memperkosa 13 pelajarnya sehingga ada yang melahirkan anak, lapor portal berita Coconuts semalam.
Keputusan itu sekali gus memenuhi rayuan pihak pendakwa raya supaya mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh, Herry Wirawan. Dia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Hakim Herri Swantoro membacakan hukuman itu semalam.
Tertuduh didapati bersalah merogol 13 pelajarnya yang berumur 16 dan 17 tahun dalam beberapa kejadian dari tahun 2016 di beberapa buah sekolah agama berasrama (pesantren) atau tahfiz tempat dia mengajar.
Sebilangan mangsanya didapati hamil dan telah melahirkan sehingga sembilan orang anak.
Mahkamah Tinggi Bandung turut mengarahkan tertuduh untuk membayar ganti rugi berjumlah 300 juta rupiah (RM88,099) sebagai pampasan kepada semua mangsa. Mereka akan menerima pelbagai jumlah pampasan.
Hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh itu merupakan antara hukuman paling berat yang pernah diputuskan oleh mahkamah berkaitan jenayah seksual kanak-kanak di Indonesia.
Di bawah undang-undang Indonesia, perogol kanak-kanak kebiasaannya dijatuhi hukuman penjara maksimum 15 tahun. – AGENSI