GUA MUSANG – Dianggarkan 95 peratus pengunjung di bazar Ramadan di daerah ini dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa mengunjungi kawasan itu pada hari pertama puasa semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, berdasarkan tinjauan, orang ramai dilihat tetap memakai pelitup muka dan mengimbas kod QR.
Katanya, bagaimanapun, ada segelintir pengunjung yang dikesan masih gagal berbuat demikian meskipun berada di tempat tumpuan ramai.
“Kita membuat pemantauan bersama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Majlis Daerah Gua Musang untuk memantau SOP dalam kalangan pengunjung.
“Operasi ini akan dijalankan daripada semasa ke semasa dan kita menasihatkan semua pengunjung bazar Ramadan supaya patuh SOP bagi mengelak jangkitan Covid-19,” katanya selepas membuat pemantauan menerusi Operasi Bersepadu di bazar Ramadan di Pusat Sivik Gua Musang, di sini petang semalam. -KOSMO! ONLINE