fbpx

Kaki bengkak, satu badan sakit, Amyra Rosli tak tahu punca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMYRA mencuba rawatan islamik bersama seorang ustaz bagi merawat penyakit yang dihadapinya ketika ini.

PETALING JAYA – Tanpa mengetahui sebab, pelakon Amyra Rosli menderita ‘penyakit misteri’ apabila mengalami sakit sendi seluruh badan, selain kakinya bengkak dan lebam-lebam sejak seminggu lalu.

Ujar Amyra atau nama lengkapnya Nur Amira Izzati Rosli, 30, ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi, sukar untuk menggambarkan keadaan dirinya ketika ini kerana mendakwa dia ‘tidak sakit tetapi sakit’.

“Susah untuk saya cakap. Saya boleh bergelak ketawa dan berlakon seperti biasa mengikut kehendak babak. Tetapi hakikatnya saya alami sakit sendi satu badan dan lebam kaki sampai tak boleh bergerak.

“Paling teruk, sakit yang dialami ini menyerang bahagian anggota badan yang saya gunakan untuk bekerja iaitu pergelangan tangan dan kaki.

“Kesannya teruk sampai saya tak boleh nak bekerja. Kalau waktu tidur malam, nak angkat selimut yang nipis pun saya tak larat. Kalau nak angkat telefon pula, rasa berat macam angkat batu,” katanya.

Ujar Amyra, dia sendiri tidak berani untuk mengaitkan sakit yang dialaminya ada kaitan dengan sejarah jangkitan Covid-19 pada 6 Mac lalu.

“Selepas mengalami sakit ini, saya sudah pergi buat ujian makmal sebanyak dua kali di hospital, tapi kesudahannya doktor sendiri pun tak tahu punca atau penyakit apa yang saya sedang alami sekarang.

“Bacaan jantung, paru-paru dan darah sangat baik tak ada masalah. Bacaan sangat sempurna, jadi keadaan ini buatkan saya tertanya-tanya,” katanya yang turut berikhtiar dengan cara rawatan homeopati.

Kata isteri kepada pelakon Amar Baharin itu, selain mencuba homeopati, dia juga berusaha mencari penyelesaian menerusi rawatan islamik bersama seorang ustaz sejak semalam.

“Semalam cuma sempat buat panggilan video dengan ustaz, baru hari ini dia boleh datang rumah untuk berubat.

“Seperti dinasihatkan ustaz, saya sendiri pun tak ada fikir bukan-bukan atau tuju kepada sesiapa perihal sakit ini. Cuma ustaz kata, berkemungkinan disebabkan saya jalani penggambaran di bermacam tempat seperti hutan, kawasan perkampungan dan hospital.

“Saya fikir positif saja, mungkin terlanggar atau terpijak sesuatu memandangkan waktu mula-mula sakit, saya sedang datang haid,” kata Amyra.

Buat masa ini, Amyra terpaksa berehat dan cuti bekerja sementelah dalam beberapa hari ini, dia tidak terlibat dengan jadual penggambaran drama terbaharu lakonannya bersama Remy Ishak, Jangan Menangis Cinta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI