fbpx

HPPNK 2021 rai golongan petani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri MAFI, Datuk Seri Ronald Kiandee (empat dari kiri) melihat masakan peserta DDPN pada HPPNK 2021 di Petaling Jaya, kelmarin.

PETALING JAYA – Kejayaan diraih seorang usahawan nanas hingga berjaya mengeksport hasil pertaniannya ke luar negara terus diraikan apabila dianugerahkan Anugerah Perdana Agro sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021.

Lebih membanggakan, Pengarah Eksekutif Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn. Bhd., Datuk Shahrul Nizam Abd. Aziz turut menerima Anugerah Agro Biz yang baru diperkenalkan sempena sambutan HPPNK kali ini.

Menurut Shahrul Nizam, kejayaan diraih itu bukan miliknya seorang dan sepatutnya diraikan bersama lebih 80 kakitangan termasuk daripada masyarakat Orang Asli yang menjadi tulang belakang syarikat.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) atas anugerah ini selain masyarakat Orang Asli yang bekerja di syarikat kami di Rompin, Pahang.

“Pada saya, kejayaan ini merupakan milik mereka yang bertungkus-lumus bekerja di bawah terik matahari bagi memastikan hasil pengeluaran nanas sentiasa menepati kualiti ditetapkan sebelum dipasarkan,” katanya kepada Kosmo! pada Majis Penyampaian Anugerah HPPNK 2021 di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai rahsia kejayaan syarikat, Shahrul Nizam berkata, kerjasama erat bersama MAFI dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia menjadi antara faktor utama.

Shahrul Nizam (empat dari kiri) menerima Anugerah Perdana Agro yang memberi wang tunai RM30,000 pada HPPNK 2021 di Petaling Jaya, kelmarin.

“Penglibatan aktif agensi kerajaan bukan sahaja membolehkan pengeluaran nanas dioptimumkan, malah mewujudkan produk hiliran lain untuk pasaran tempatan serta antarabangsa,” ujarnya.

Pada Majlis Anugerah HPPNK 2021, sebanyak lima anugerah disampaikan kepada penerima dalam usaha menghargai sumbangan mereka sebagai penyumbang utama bekalan makanan negara ini.

Antara anugerah disampaikan kepada penerima yang terdiri daripada peladang, penternak dan nelayan ialah Anugerah Agroprenuer Muda, Anugerah Agro Biz, Anugerah Premier Persatuan Nelayan, Anugerah Premier Pertubuhan Peladang serta Anugerah Perdana Agro.

Bagi empat anugerah utama, penerima membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000 selain trofi dan sijil, manakala Anugerah Perdana Agro menawarkan wang tunai berjumlah RM30,000.

Sementara itu, pemenang Anugerah Premier Pertubuhan Peladang, Datuk Md. Zabidi Arifin menyifatkan peranan aktif dimainkan agensi-agensi di bawah MAFI sebagai pemangkin kepada kejayaannya

“Dengan kecekapan dimainkan agensi-agensi terlibat, kami dapat terus bergerak dan pengeluaran makanan kepada rakyat kekal berfungsi walaupun ketika negara diancam pandemik.

“Sebagai contoh, bantuan diberikan kerajaan sepanjang Covid-19 membolehkan pengeluaran padi kekal dibekalkan dengan adanya pelbagai insentif seperti pemberian benih dan baja kepada petani,” ujarnya.

HAMIZAH dan Esah (barisan bawah, tiga dan empat dari kanan) berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 selepas menjadi juara Program DDPN Peringkat Kebangsaan Sempena HPPNK 2021 di Petaling Jaya, kelmarin.

Dalam pada itu, Program Dari Dapur Peladang Nita (DDPN) yang dianjurkan sempena HPPNK 2021 menyaksikan peserta dari PPK Jerantut, Pahang dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000.

PPK Jerantut yang diwakili Hamizah Basir dan Esah Abdul Rahim berjaya menawan deria rasa para juri menerusi hidangan istimewa mereka, iaitu Rendang Daging Pahang dan Pais Talapia Belimbing Hitam.

Menurut Hamizah, beliau bangga selepas dinobatkan sebagai juara memandangkan peserta lain hadir dari seluruh negara selain mempunyai pengalaman luas.

“Saya merancang membuat kenduri kesyukuran sempena menyambut Ramadan bagi meraikan rakan-rakan yang sudi memberi sokongan pada pertandingan ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI