Seorang lelaki melakukan solat isyak secara berjemaah di masjid. Apabila balik ke rumah, dia menjadi imam solat kepada ahli keluarganya. Bolehkah seseorang itu mengulangi solat yang sama dengan niat membantu orang lain mendapatkan pahala berjemaah?
Jawapan:
Pada asasnya, seseorang yang telah bersolat fardu boleh mengulanginya semula dalam beberapa keadaan. Kaitan dengan soalan di atas, terdapat dua keadaan:
Pertama: Seseorang yang telah menunaikan solat tersebut di tempat lain, kemudian datang ke tempat solat jamaah bagi solat sama, maka adalah sunat baginya menyertai jamaah itu.
Ini berdasarkan hadis Yazid bin al-Aswad al-‘Amiri: “Aku menyertai Rasulullah s.a.w dalam solat subuh di Masjid al-Khaif. Apabila selesai solat, terdapat dua lelaki di hujung orang ramai (ahli jamaah) yang tidak solat bersama baginda. Sabda Nabi s.a.w: “Bawa mereka berdua kepadaku.”
Maka, mereka berdua dibawa datang dalam keadaan menggigil qarisoh (daging antara bahu dan bahagian tepi tubuh) mereka berdua (kerana ketakutan).
Baginda bertanya: “Apa yang menghalang kamu berdua untuk solat bersama kami?” Jawab mereka: “Wahai Rasulullah! Kami telah pun solat di rumah kami.” Sabda Nabi s.a.w: “Jangan kamu berdua buat begitu. Jika kamu telah solat di rumah kamu, kemudian kamu datang ke masjid yang solat berjemaah, maka solatlah bersama mereka. Sesungguhnya ia nafilah (sunat) bagi kamu,” (Riwayat al-Nasai, al-Tirmizi dll. Sahih).
Kata al-Imam al-Son’ani dalam Subul al-Salam: “Hadis (peristiwa) ini berlaku di Masjid al-Khaif semasa haji al-wada’ (Haji terakhir Nabi s.a.w). Ia menunjukkan dibenarkan di sisi syarak untuk seseorang solat bersama imam jika mendapati imam sedang bersolat atau akan bersolat, sekalipun dia telah bersolat sebelum itu sama ada berjemaah atau sendirian. Solatnya yang pertama adalah solat fardu, manakala yang kedua adalah sunat, seperti yang hadis ini nyatakan,” (2/47. Beirut: Muassasah Fuad).
Kedua: Seseorang telah bersolat bersama dengan satu jamaah, kemudian dia ingin bersolat sekali lagi dengan jamaah lain atas sebab-sebab tertentu seperti menjadi imam atau dalam jamaah lebih ramai dan seumpamanya.
Hal ini juga dibolehkan. Dalam hadis Jabir bin ‘Abd Allah: “Sesungguhnya Mu’az bin Jabal r.a. bersolat bersama Nabi s.a.w, kemudian datang kepada kaumnya dan menjadi imam solat mereka,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan boleh seseorang yang solat jemaah di masjid, kemudian menjadi imam pula kepada mereka yang lain bagi solat fardu sama.
Ini menjawab soalan ditanya, apakah boleh seseorang yang solat di masjid kemudian pulang ke rumah menjadi imam untuk isteri dan anak-anaknya?
Maka, jawapan hal itu boleh, bahkan dia mendapat pahala solat sunat bagi solat kedua.
Hadis ini juga menjadi dalil bahawa seseorang yang bersolat sunat boleh menjadi imam kepada mereka yang bersolat fardu kerana solat pertama yang Mu’ az tunaikan adalah fardu, yang kedua adalah sunat.
Maka boleh seseorang yang solat fardu isyak mengikut imam yang solat sunat tarawih dan seumpamanya.






