fbpx

Onar Will Smith kacau Oscars

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WILL SMITH

PRESTIJ acara perfileman ulung dunia, Academy Awards ke-94 yang berlangsung dari Dolby Theatre, Hollywood, California, Amerika Syarikat baru-baru ini sedikit tercalar disebabkan insiden kekasaran fizikal yang dilakukan pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Will Smith terhadap pelawak, Chris Rock.

Hasrat lelucon Chris Rock atau nama sebenarnya, Christopher Julius Rock tidak berlaku seperti diharapkan kerana menyentuh sensitiviti insan tersayang, juga isteri kepada Smith iaitu Jada Pinkett.

Tindakan Rock, 57, tidak disenangi Smith yang naik angin dengan kelakuan biadab pelawak tersebut memperlekeh kondisi masalah keguguran rambut kronik atau nama saintifiknya, alopecia dialami Pinkett.

MOMEN Chris Rock ditampar Will Smith disebabkan keceluparan mulutnya mempersendakan isteri kesayangan Pelakon Lelaki Terbaik Oscar itu.

Ujar Rock dalam jenakanya, Pinkett berpotensi berlakon dalam filem G.I. Jane disebabkan kepala botaknya yang sesuai dengan karakter utama filem berkenaan.

Sungguhpun begitu Smith, atau nama lengkapnya, Willard Carroll Smith II terus meluru naik ke pentas dan menampar muka pelawak itu sebelum kembali ke tempat duduknya.

Itu sorotan berkonotasi negatif yang menjadi perbualan orang ramai meskipun tahun ini, sebuah naskhah penuh aspirasi, CODA dinobatkan sebagai Filem Terbaik termasuk dua trofi lain utama lain, Adaptasi Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Kejayaan filem sains fiksyen, Dune arahan Denis Villeneuve yang menyerlah dengan membolot kebanyakan kategori teknikal termasuk Kesan Visual, Sinematografi, Suntingan, Skor, Bunyi dan Rekaan Produksi Terbaik juga tidak mampu memadam sensasi yang tercetus tanpa sangkaan ramai tersebut.

MENYEDARI kesilapannya, Will Smith tidak menunggu lama untuk meminta maaf atas keterlanjurannya bertindak kasar dalam acara yang disaksikan seluruh dunia.

Tampar, status trofi

Ketika kejadian kekasaran fizikal berlaku secara ‘live’, siaran Oscar terpaksa dihentikan barangkali untuk mengelakkan sebarang perkara tidak dingini dirakam, namun zaman media sosial, dengan pantas klip yang tidak dipaparkan dalam skrin televisyen dirungkai orang ramai dan menjadi tular.

“Tolong jangan sebut nama isteri saya dengan keceloparan kamu,” teriak Will yang menerima pencalonan menerusi filem King Richard selepas tangannya ‘melekat’ ke muka pengacara majlis berkenaan.

Sekadar informasi, isteri Smith, menderita masalah keguguran rambut kronik atau alopecia yang didedahkan kepada umum hujung tahun lalu.

Selepas insiden tamparan ‘epik’ tersebut, Smith sekali lagi naik ke pentas menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan melakukan permohonan maaf kepada orang ramai.

Dalam ucapannya, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, tindakan menampar rakan seperjuangan berlaku di luar kawalan dan dia banyak bersabar selama ini disebabkan status sebagai orang popular.

“Saya tahu apa yang kita buat kadangkala akan membuatkan orang bercakap mengenai kita.

“Dalam bidang ini, kita kena berdepan dengan situasi apabila orang tidak hormat kepada kita dan kita terpaksa senyum sahaja,” katanya.

Sambil mengalirkan air mata, Smith turut berkongsi pesanan yang pernah diungkapkan oleh sahabat baiknya, juga calon dalam kategori sama, Denzel Washington.

“Ketika kita berada dalam zaman kegemilangan, ketika itulah ‘syaitan’ akan datang kepada kita,” katanya.

TROY KOTSUR menjadi pelakon pekak pertama di dunia yang menang trofi Oscar.

Aktor pekak genggam Oscar

Dengan segala cetusan sensasi disebabkan tamparan Smith, CODA atau child of deaf adults dinamakan sebagai Filem Terbaik. Seorang pelakonnya yang dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik membuatkan jiwa audiens tersentuh ketika memberikan ucapan.

Masakan tidak, berstatus orang kelainan upaya (OKU) iaitu pekak, Troy Kotsur bercerita tentang jasa dan budi bapanya, yang banyak berkorban sehingga dia berjaya bergelar bintang filem.

Troy yang memainkan watak Frank dalam CODA memaklumkan, bapanya terlibat kemalangan lantas menyebabkan kecacatan kekal sehingga tak mampu menurunkan tanda tangan.

“Saya nak mengucapkan terima kasih untuk pementasan-pementasan teater melibatkan orang pekak yang memberi peluang kepada orang macam saya menggilap bakat lakonan.

PRODUKSI Drive My Car (Jepun) dinobatkan sebagai Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

“Bapa saya, merupakan orang penting dalam keluarga, namun terlibat dalam kemalangan jalan raya. Dia kemudian lumpuh dari atas badan hingga bawah badan sehingga tak boleh menurunkan tanda tangan.

“Ayah, saya telah belajar banyak daripada anda. Saya akan sentiasa sayang anda selama-lamanya. Andalah hero saya,” katanya menggunakan bahasa isyarat.

Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Jessica Chastain dinobatkan sebagai pemenang seperti diramal ramai sekali gus meranapkan harapan pelakon Kristen Stewart yang diharapkan menang kategori berkenaan menerusi filem Spencer.

AKTRES Jessica Chastain menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem The Eyes of Tammy Faye.

Impian bertukar realiti

Sementara itu, Ariana DeBose diumumkan pemenang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi watak Anita dalam filem muzikal West Side Story.
DeBose dalam ucapannya menggambarkan kemenangan tersebut sebagai impian yang menjadi kenyataan.

“Walaupun kita hidup dalam dunia yang pelik, tapi, impian boleh menjadi kenyataan. Terima kasih Steven Spielberg. Sekarang, awak dah tak boleh lari daripada saya,” katanya dalam ucapan kemenangan.

SUTRADARA Jane Champion dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem The Power of the Dog.

DeBose juga mencatat sejarah tersendiri sebagai pelakon wanita kulit hitam untuk kemenangan dalam kategori berkenaan.

“Kepada sesiapa yang selalu keliru mengenai identiti diri, ada tempat untuk kita,” katanya.

Pada 1962, Rita Moreno juga pernah memegang watak Anita dalam versi asli West Side Story menjadi pelakon wanita Hispanic pertama memenangi kategori sama.

Dalam versi terbaharu, Ariana memegang watak sebagai pemilik kedai ubat bernama Valentina.

Terdahulu, DeBose memenangi beberapa anugerah lain menerusi watak Anita iaitu Golden Globe, BAFTA dan SAG Award.

PASUKAN CODA, pemenang trofi utama, Filem Terbaik Academy Awards ke-94.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI