fbpx
RAJA RAHIM RAJA HUSSIN atau Pak Andak berhasrat agar pakaian-pakaian lama ini akan dapat ditatap oleh generasi-generasi muda akan datang.

Pak Andak miliki koleksi 400 pakaian Melayu zaman dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGALANYA bermula dengan pembelian ponjin (dialek Jawa Timur, Indonesia bagi saku menyimpan barang atau pakaian) pada era 50-an. Di dalam ponjin itu, Raja Rahim Raja Hussin yang ketika itu baru berusia 15 tahun menemukan lapan helai baju tradisional Melayu pelbagai fabrik dan potongan.
Baju-baju tersebut adalah busana yang pernah digayakan pasangan raja sehari, malah ada antaranya berusia lebih tua daripada pemilik ponjin itu, sekali gus menjadikan koleksi berkenaan ‘kaya’ dengan nilai budaya silam.
Tertarik dengan seni halus sulaman, dan jahitan fabrik masyarakat Melayu lama itu, Raja Rahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Andak terus memupuk kecintaannya kepada estetika persalinan tradisional.
“Sejak kecil lagi saya minat dengan baju tradisional Melayu kerana ibu, Khadijah Hassan merupakan seorang tukang jahit dan setiap kali dia meminta saya turunkan baju-baju siap dijahit yang digantungnya di jendela, saya akan memuji pakaian itu.
“Selepas meningkat remaja, saya telah membeli satu ponjin baju pada harga RM10 dan di dalamnya terdapat lapan helai baju tradisional, itulah titik tolak saya mengumpul busana Melayu lama ini,” katanya kepada K2 ketika ditemui di Ayer Keroh, Melaka.
Kini, Pak Andak yang berusia 68 tahun memiliki hampir 400 helai busana tradisional Melayu berusia lebih 50 tahun dan dianggarkan bernilai hampir setengah juta ringgit kerana ketulenan serta potongan klasik itu disifatkan sebagai sangat ‘rare’ atau unik.

PAK ANDAK menunjukkan beberapa busana lama pelbagai potongan dan gaya yang ada dalam simpanannya.

Malah, potongan seakan busana itu juga jarang dapat dilihat hari ini termasuk pada majlis-majlis persandingan masyarakat Melayu.
Koleksi busananya terdiri daripada persalinan-persalinan lama termasuk dari tahun 1950-an.
“Baju-baju ini ada lehernya yang dijahit gaya tulang belut, jahitan mata lalat, teluk belanga dan cekak musang. Jenis fabrik digunakan adalah seperti songket, broked, kain kapas, kasa Robiah, kasa Maimun, baldu atau kain bercorak bunga kecil serta bunga mewah (besar).
“Setiap pakaian mempunyai penceritaan. Saya garap ilmu ini daripada generasi terdahulu dan setiap baju ini dipakai mengikut majlis serta status seseorang itu,” katanya sambil memberitahu kebanyakan koleksi dimiliki adalah pemberian saudara-mara dan kenalan yang menyokong minatnya.
Ujarnya, setiap baju tradisional itu juga mempunyai penyeri masing-masing seperti kerongsang (tiga, lima dan tujuh ‘beradik’), cemara atau rambut palsu gaya siput, sanggul lintang, bunga goyang, bunga segar atau tanjak.
Setiap perhiasan itu merupakan sentuhan yang akan melengkapkan persalinan digayakan dan membawa mesej dalam penampilan ditonjolkan empunya diri. Sebagai contoh, katanya, sanggul lintang membawa maksud bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan menjadi kemestian dipakai ketika persandingan masyarakat Melayu zaman dahulu kala.
Jelas Pak Andak, ada juga sanggul lintang itu yang merupakan hasil kraf tangannya sendiri dan disediakan berasaskan berat yang berbeza-beza antara tiga, lima dan tujuh kilogram mengikut kesesuaian saiz kepala si pemakai.
“Itulah istimewanya busana Melayu tradisional. Busana-busana ini bukan sahaja kaya dengan estetika yang tersirat tetapi tersurat. Disebabkan itu juga masih ada segelintir individu mencari saya untuk pakaian-pakaian ini.
“Ada antara mereka merupakan selebriti terkenal tanah air yang menghargai nilai budaya Melayu lama, tidak kurang juga yang inginkannya untuk dipakai bagi menampakkan kelainan pada majlis persandingan,” katanya.

HIASAN kepala unik seperti tanjak yang ada dalam koleksi Pak Andak.

Kongsi Pak Andak, pada persandingan zaman dahulu, pengantin wanita akan diserikan dengan perhiasan lain seperti alas dada, juntaian bunga melor, gelang kaki tembaga dan kasut baldu bertekat, manakala pengantin lelaki akan dipakaikan jubah ala Parsi serta hiasan kepala tengkolok.
Berikutan permintaan sewaan busana yang memberangsangkan, Pak Andak juga membuka perkhidmatan andaman Andak Spa di Banda Hilir selepas berkahwin dengan pasangannya, Zanariah Suboh semasa usia mereka 20-an.
Mengulas lanjut mengenai cara penjagaan koleksi pakaian yang disimpan, Pak Andak memberitahu, pakaian-pakaian tersebut jarang dibasuh bagi menjaga kualiti fabriknya selain perlu dibersihkan dengan kaedah jemuran.
“Bahagian dalam baju yang telah digunakan akan diterbalikkan dan dijemur di bawah matahari untuk menghilangkan bau peluh.
“Baju ini perlu dijaga dengan berhati-hati kerana bersulam, selain fabriknya telah berusia dan mudah terkoyak jika tidak dijaga dengan betul,” katanya.
Pak Andak turut mendedahkan, ada individu dari luar negara yang ingin membeli koleksinya pada harga AS$1,000 (RM4,200) sehelai, namun dia enggan menjualnya kepada orang lain.

MOHD. NASRUDDIN

Bagaimanapun, baru-baru ini anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu memilih untuk menjual sebahagian koleksinya kepada pihak Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) bagi tujuan pemeliharaan dan tatapan generasi seterusnya, khususnya anak-anak Melayu.
“Saya takut generasi akan datang tidak tahu nilai budaya pakaian Melayu lama. Memang hari ini kita mempunyai ramai pereka fesyen yang berbakat, namun bukan semua sudi memperjuangkan atau menghidupkan warisan peninggalan keluarga ini.
“Lambat-laun semuanya akan pupus, daripada sekecil-kecil aksesori, baju sehinggalah tata cara pasangan raja sehari di majlis persandingan seperti cara berjalan, duduk dan beramah mesra dengan sanak saudara,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Perzim, Mohd. Nasruddin Rahman berkata, pihaknya membeli kira-kira 30 helai koleksi baju tradisional daripada Pak Andak untuk dipamerkan di Perkampungan Hang Tuah di Kampung Duyong.
Katanya, ini merupakan salah satu usaha oleh kerajaan negeri Melaka untuk memastikan nilai estiteka pakaian tradisional Melayu tidak pupus, di samping memberi peluang kepada orang ramai mempelajari seni budaya itu.
“Sebenarnya sebelum ini Pak Andak ada membuka kedai di Taman Mini Malaysia dan ASEAN di Ayer Keroh, namun tempat itu terpaksa ditutup untuk dinaik taraf, jadi semua pakaian itu terpaksa disimpan.
“Disebabkan itu, kita mengambil inisiatif membeli kira-kira 30 pasang baju tradisional untuk dipamerkan di Rumah Hang Kasturi di Perkampungan Hang Tuah dan orang ramai juga berpeluang memakai pakaian itu untuk memahami budaya masyarakat dahulu,” katanya.
Jelasnya lagi, perbadanan itu juga mempunyai Bahagian Pengurusan Koleksi yang mempunyai kepakaran menentukan ketulenan baju tradisional lama.
“Memang semua baju yang Pak Andak ada adalah tulen dan berusia lebih 50 tahun. Koleksi yang kami beli juga merupakan busana tertua dimiliki Pak Andak, malah ada antaranya berusia 68 tahun atau tahun 1954.
“Sebilangan juga telah lusuh dimamah usia dan usaha pemuliharaan dilakukan menggunakan kepakaran yang kami ada,” ujarnya.
Tambahnya, sewaan kadar pakaian klasik itu masih belum ditetapkan, namun orang ramai akan dibenarkan memakai busana tersebut sambil merakam gambar kenangan di sekitar perkampungan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN