fbpx

Li Yongbo hanya pelabur dua syarikat kontraktor projek durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah semasa merasmikan peletakan batu asas pembangunan projek Pusat Agro Pelancongan dan Ladang Durian Musang King di Pos Blau, Gua Musang bulan lalu.

KOTA BHARU – Bekas pemain badminton dari China, Li Yongbo merupakan pelabur kepada dua syarikat kontraktor yang terlibat dalam Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis dan Spesis Durian di dalam tanah seluas 890 hektar di Hutan Simpan Kekal Sungai Durian, Gua Musang.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata, berita yang ditularkan berkaitan Li Yongbo menerusi akaun Facebook Husam Musa itu serupa seperti empat tahun lalu apabila ia melibatkan pelaburan yang dibuat pada ketika itu melalui kontraktor yang sama.

Menurutnya, syarikat berkenaan telah melantik kontraktor yang telah mengusaha penanaman musang king dan Li Yongbo hanya membuat pelaburan dalam kontraktor tersebut.

Ujarnya, kerajaan negeri sebelum ini telah memberi kelulusan kepada dua syarikat itu pada 7 Mei 2015 dan 15 April 2018 untuk pembangunan Projek Ladang Hutan Getah Klon Balak.

“Pada 21 Mei 2020, kerajaan negeri telah memberi kelulusan permohonan Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis kepada Projek Ladang Hutan Pelbagai Spesis dan Spesis Durian.

“Kelulusan tersebut dengan menetapkan keluasan penanaman spesies durian yang dibenarkan hanya 30 peratus daripada 350 hektar dan 404 hektar daripada keluasan yang diluluskan kepada dua syarikat tersebut.

“Syarikat berkenaan telah melantik kontraktor yang telah mengusaha penanaman musang king dan Li Yongbo hanyalah membuat pelaburan dalam kontraktor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Asri menjelaskan, dakwaan yang dikeluarkan oleh akaun Facebook itu adalah tidak bertanggungjawab dan bermotifkan politik untuk memberikan imej yang tidak baik terhadap pihak kerajaan negeri Kelantan dalam suasana politik ketika ini.

Menyentuh mengenai ladang musang king seluas 3,035 hektar seperti dakwaan akaun Facebook Husam Musa itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mengesahkan bahawa ladang tersebut melibatkan tanah persendirian dan bukan Hutan Simpan Kekal atau tanah kerajaan.

Ujarnya, kawasan berhutan di Kelantan adalah 51 peratus yang meliputi kawasan seluas 767,202.50 hektar daripada keluasan tanah di negeri ini.

“Keluasan Hutan Simpanan Kekal Kelantan adalah 629,880.95 hektar bersamaan dengan 42 peratus daripada keluasan tanah negeri sekali gus menjadi antara penyumbang terbesar keluasan hutan dan kelestarian negara.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dan telus dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi terutamanya hutan,” katanya.

Terdahulu, akaun Facebook Husam Musa yang dipercayai dikendalikan oleh bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa sejak akhir-akhir ini membuat banyak hantaran mengenai Li Yongbo mendapat peluang menanam durian di Hutan Sungai Durian.

Akaun Facebook itu turut mendedahkan banyak kawasan hutan simpan di Kelantan telah diteroka untuk penanaman musang king. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI