fbpx

Giliran Aina Abdul ‘hiasi’ Times Square New York

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AINA menjadi artis tempatan terbaharu yang menghiasi papan iklan gergasi Times Square di New York, Amerika Syarikat.

PETALING JAYA – Penyanyi Aina Abdul melakar sejarah untuk portfolio kerjaya seni tahun ini apabila giliran wajahnya menghiasi papan iklan di lokasi ikonik Times Square New York, Amerika Syarikat.

Katanya, pengiktirafan yang diberikan kepadanya apabila berada sebaris dengan ramai teman seperjuangan wanita lain di ruang iklan antarabangsa itu membuatkannya kehilangan kata-kata.

“Masih kelu untuk menggambarkan momen berharga ini! Terima kasih buat seluruh pasukan yang menjadikan semua ini sebagai kenyataan.

“Untuk berada dalam senarai bersama antara pemuzik wanita terbaik bagi Kempen Equal ini masih saya rasakan seperti bermimpi,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 28, itu juga tidak ketinggalan menitipkan penghargaan buat peminat tegar, Ainations yang sentiasa memberikan sokongan.

“Terima kasih kepada Ainations yang menjadikan pengalaman ini nyata serta menyeronokkan,” kongsinya lagi.

Kemunculan Aina di papan iklan gergasi tersebut menyaksikan dia mengikuti jejak rakan seperjuangan lain yang terlebih dahulu menghiasi lokasi sama iaitu Yuna, Layla Sania, Dolla dan Iman Troye.

Kemunculan Aina turut dilihat sebagai satu lagi langkah besar dalam kerjaya seninya selepas meraih trofi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL36), baru-baru ini.

Penampilan penyanyi lagu Fool itu juga adalah sebahagian daripada kempen Equal selaku wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

Menerusi kempen sama, pihak pengelola menyenaraikan beberapa kategori ‘playlist’ yang membabitkan penyanyi dari pelbagai negara.

Terdahulu, menerusi video pendek oleh Spotify, Aina mengumumkan bahawa dia telah terpilih sebagai duta kempen Equal pada bulan ini.

“Sertai saya untuk memperkasakan lagi wanita di Spotify. Dengarkan trek terbaru saya, Fool dan muzik daripada penyanyi wanita lain dalam playlist Spotify:Equal Singapura dan Malaysia.

“Marilah kita raikan wanita, tanpa mengira hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI