PETALING JAYA – Hilangnya keseronokan untuk mengajar selain terpaksa memenuhi kehendak pihak atasan mendorong ramai guru-guru terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan profesion murni itu lebih awal.
Tidak hanya dibebani dengan kerja yang terlalu banyak sehingga mengganggu tugas hakiki sebagai pendidik, ada juga guru-guru yang terkesan dengan karenah ibu bapa yang dianggap terlalu menekan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya tidak menafikan fakta bahawa memang ramai guru bersara pilihan atau dalam bahasa mudahnya memohon persaraan awal.
“Berdasarkan tinjauan kami, mereka dibebani tugas perkeranian dan pelbagai jenis sistem dalam talian yang terpaksa diisi oleh guru.
“Guru sebenarnya banyak berkorban mengeluarkan duit sendiri menyediakan komputer riba dan capaian internet semata-mata untuk memastikan tugasan yang diarahkan pihak atasan dapat disempurnakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Selain itu, Aminuddin berkata, setiap kali berlaku perubahan kepimpinan pendidikan, pelbagai dasar baharu pula terpaksa dihadapi oleh para guru.
Menurut beliau, guru-guru juga berada dalam tekanan kerana perlu memastikan pelajar di bawah kawalan mereka mencapai pelbagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Sedangkan bagi guru-guru, perkembangan murid-murid sama ada dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah yang paling penting.

“Peranan seorang guru adalah mendidik, tetapi yang berlaku hari ini guru lebih dibebankan dengan kerja pentadbiran dan pengurusan data,” katanya.
Ujar beliau, situasi itu menyebabkan ada guru tidak dapat memberi fokus pada tanggungjawab mengajar dalam kelas, sekali gus hilang keseronokan untuk bekerja.
Tambah beliau, tekanan turut dihadapi apabila pihak Jabatan Pendidikan Negeri, PPD dan sekolah meletakkan pengurusan cemerlang sebagai keutamaan, manakala pencapaian dan hala tuju murid jatuh tangga kedua.
Kata beliau, keadaan itu membuatkan profesion berkenaan semakin hambar kerana perlu memenuhi kehendak atasan terlebih dahulu berbanding keperluan murid untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
“Ramai juga ibu bapa yang memberikan tekanan kepada para guru sehingga menyebabkan golongan pendidik ini tertekan dalam mendidik pelajar di sekolah.
“Itu belum lagi mengambil kira masa yang diperuntukkan untuk melayan pelbagai soalan dalam grup WhatsApp sekolah dan kelas masing-masing.
“Dengan kata lain, guru-guru sekarang seolah-olah bekerja dari pagi hingga malam,” katanya.
Justeru, kata beliau, NUTP berharap Kementerian Pendidikan Malaysia kembali meletakkan pendidikan di landasan yang sepatutnya.
Kata beliau, Jawatan Pembantu Guru perlu diwujudkan sebagai petugas kerja perkeranian seperti memasukkan data dalam talian.
Tambah beliau, penetapan KPI perlu secara bottom-up iaitu bermula daripada sekolah kerana permasalahan setiap sekolah tidak sama.
“Malaysia ada sekolah di pesisiran pantai, di pedalaman, di kawasan miskin bandar, di kawasan elit dan sebagainya.
“Jika sasaran yang sama ditetapkan kepada semua sekolah, sudah pastilah tekanan akan dihadapi oleh guru di sekolah-sekolah yang majoriti murid-murid daripada golongan miskin.
“Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil kita akan terus kehilangan guru-guru yang berpengalaman kerana mereka memilih bersara awal,” katanya.














