YAN – Memiliki perniagaan dan mempunyai masalah kesihatan turut menjadi faktor ramai guru memilih untuk bersara awal.
Seorang bekas guru, Jaafar Man, 63, yang bersara awal pada usia 45 tahun berkata, dia membuat keputusan itu kerana mahu menguruskan perniagaan jualan langsung yang diceburinya.
“Saya pilih bersara awal selepas hati tidak tenteram memikirkan kegagalan memenuhi janji mendidik anak bangsa dengan sempurna.
“Malah perasaan bersalah kepada guru yang terpaksa mengambil alih tugas ketika saya bercuti kerana urusan perniagaan juga merupakan antara sebab saya perlu berhenti kerja,” katanya.
Menurut Jaafar, dia mula bertugas sebagai guru Sejarah pada 1981 selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia.
“Sejak terlibat dengan perniagaan satu produk kesihatan pada 1997 dengan perolehan pendapatan bulanan yang tinggi mencecah RM40,000 sebulan, saya mula abaikan tugas hakiki seorang pendidik yang bergaji RM3,400,” katanya.
Ujarnya, pada 2002, muncul perasaan bersalah apabila gagal menjadi seorang pendidik sebenar selepas terlibat dalam bisnes, menyebabkan dia mengambil cuti setahun tanpa gaji.
“Pada 2003, saya kembali bertugas sebagai guru, tetapi keseronokan bergelar guru sudah tiada menyebabkan saya memohon berhenti kerja setahun kemudian.
“Akhirnya permohonan saya diluluskan pada Ogos 2004 sebelum saya bersara sepenuhnya bermula 1 Januari 2005,” katanya.
Di Kuala Terengganu, seorang bekas guru, Shamsiah Abdul Rahman, 64, berkata, dia bersara awal pada sembilan tahun lalu ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
Katanya, keputusan untuk bersara dibuat selepas dia berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan serta pemeriksaan berkala akibat penyakit jantung yang dihidapi sejak 1998.
“Kadangkala ketika mengajar di dalam kelas, saya cepat penat dan tidak boleh berdiri terlalu lama sehingga menjejaskan sesi pembelajaran pelajar.
“Memang sayangkan kerjaya sebagai guru, namun jika saya tidak dapat beri 100 peratus tumpuan, pelajar juga akan terkesan. Apatah lagi terpaksa mengambil cuti setiap kali ada janji temu di hospital,” katanya.














