fbpx
Muhammad Helmi

MetMalaysia naik taraf aplikasi RakanMET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menaik taraf aplikasi mudah alih RakanMET sempena Hari Meterologi Sedunia tahun 2022 hari ini.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, aplikasi itu merupakan platform perkongsian maklumat cuaca seperti hujan lebat, ribut petir, angin kencang, jerebu, gempa bumi atau bencana.

“Aplikasi ini dibangunkan untuk perkongsian maklumat di antara pengguna dengan MetMalaysia yang berorientasikan perkhidmatan komuniti dan perkongsian pintar. Setiap pelaporan yang dikongsikan adalah berdasarkan tetapan lokasi semasa telefon pengguna melalui Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

“Selain itu, aplikasi ini turut menyediakan maklumat ramalan cuaca semasa dan maklumat ini tersedia dalam masa 30 minit untuk tempoh sehingga 3 jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, MetMalaysia telah menaik taraf aplikasi tersebut yang dilancarkan pada 23 Mac 2018 kepada aplikasi mudah alih yang lebih mesra pengguna dan boleh dimuat turun ke telefon bimbit masing-masing.

“Maklumat tepat dan sahih berkaitan cuaca dapat dikongsikan bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia agar lebih peka dan waspada dengan cuaca semasa.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play secara percuma dan turut akan diperluaskan untuk pengguna Apple Store pada bulan April nanti,” ujarnya.

Menurutnya, Hari Meteorologi Sedunia disambut pada 23 Mac setiap tahun oleh seluruh komuniti meteorologi di 193 buah negara anggota Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), termasuk Malaysia. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN