REMBAU – Seorang wanita yang juga pengurus kedai makan maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam nahas kenderaan berat di kilometer 222.4, Lebuh Raya Utara Selatan(arah Utara), di sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, mangsa, Siti Aisyah Shifik, 32, beralamat di Kampung Sungai Petai, Alor Gajah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Honda Wave dan sebuah lori jenis Scania.
“Siasatan awal mendapati penunggang dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang dan sebaik sampai di tempat kejadian, mangsa telah melanggar bahagian belakang lori yang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan.
“Akibat kemalangan, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE














