fbpx

Bapa reda pemergian anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bapa kepada kanak-kanak 11 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin, di sini, reda dengan pemergian anaknya itu.

Oleh AZIZAH SHAFIEI

KUANTAN – Bapa kepada kanak-kanak 11 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin, di sini, reda dengan pemergian anaknya itu.

Qurbani Azhar Rahimi, 40, berkata, dia bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar dan dia menyerahkan semuanya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Alhamdulillah. Hari ini selesai semuanya. Segala urusan dipermudahkan, saya serahkan kepada polis sebab saya reda. Memang saya terasa kehilangan arwah kerana dia seorang yang sangat baik, mendengar kata dan bertanggungjawab.

“Tetapi macam saya cakap tadi, saya reda dengan segalanya. Kepada pihak kompleks dan rakan-rakan mangsa, saya minta agar diberikan kemaafan buat arwah sekiranya arwah ada melakukan sebarang kesilapan,”katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 3.30 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugur yang turut dihadiri ahli keluarga terdekat termasuk pelajar kompleks rumah anak yatim dan miskin berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu, mangsa yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Soi di sini disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri.

Difahamkan, kejadian itu yang berlaku di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin terbabit berpunca hanya kerana kanak-kanak yang dibelasah itu disyaki mengambil duit sebanyak RM4.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, dilaporkan berkata, polis telah menahan reman seorang pelajar berusia 16 tahun selama tujuh hari untuk siasatan lanjut kes yang disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI