fbpx

10 pemandu konvoi kenderaan mewah akan dipanggil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis akan memanggil 10 individu yang disyaki terlibat dalam insiden konvoi kenderaan mewah yang menghalang laluan di susur keluar Sedenak, Kulai, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu terbabit akan dipanggil hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, petang hari ini.

“Berhubung isu viral iaitu konvoi kenderaan mewah yang menghalang laluan, 18 Mac lalu, saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kulai (Superintendan Tok Beng Yeow) melakukan siasatan terperinci.

“Polis akan membuka tiga kertas siasatan mengikut kesalahan iaitu merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan awal juga mendapati punca insiden terbabit berlaku disebabkan wanita yang memandu pacuan empat roda Ford Ranger dipercayai panik sebelum berlaku perlanggaran.

Selain itu, beliau memberitahu, wanita berusia 28 tahun itu turut dipukul pemandu kenderaan mewah ketika dihalang berada di Kilometer 34 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, pada pukul 6.10 petang.

Terdahulu, pemandu wanita berkenaan ditahan di pekarangan ibu pejabat polis daerah berkenaan pada pukul 1 pagi, semalam.

Wanita itu kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Baru-baru ini, tular di media sosial satu video berdurasi 1 minit 14 saat yang menunjukkan sebuah Ford Ranger dipandu secara merbahaya sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah kenderaan daripada kumpulan konvoi Lamborghini.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kilometer 34 Lebuh Raya Utara-Selatan menghampiri susur keluar Sedenak, di sini pada pukul 6.10 petang, 18 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Beng Yeow memberitahu, pemandu Ford Ranger itu cuba memotong konvoi kenderaan Lamborghini secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah kereta di dalam konvoi berkenaan ketika cuba memasuki lorong kiri.

“Disebabkan pelanggaran itu, konvoi Lamborghini berkenaan tidak berpuas hati dan telah menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya sebelum berlaku perselisihan faham antara pemandu Ford Ranger dan kumpulan berkenaan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI