fbpx

Wang RM3.9 juta peninggalan suami lesap ditipu Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily menunjukkan gambar yang disunting suspek bagi memperdaya mangsa Love Scam semasa sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di George Town hari ini. /FOTO IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Hasrat seorang wanita warga emas untuk dijaga sehingga akhir hayat oleh ‘kekasih’ warga Korea bukan sahaja tidak kesampaian tetapi turut mengalami kerugian RM3.9 juta akibat diperdaya sindiket Love Scam.

Selain termakan janji lelaki berkenanan untuk menjaganya, wanita berusia 63 itu turut terpengaruh dengan tawaran projek perniagaan membabitkan pelantar minyak daripada suspek.

Malah, untuk membuatkan mangsa mempercayainya, lelaki itu juga sering menghantar gambar kononnya wajahnya selain video dia sedang memandu kereta serta berada di tempat kerja.

Wanita itu hanya menyedari dirinya ditipu selepas mendapati gambar wajah lelaki Korea itu yang dikatakan bekerja di pelantar minyak disunting daripada gambar milik individu lain.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, mangsa yang membuat laporan polis di daerah Timur Laut pada Khamis lalu itu memaklumkan dia mengenali suspek menerusi laman sosial Instagram pada Disember tahun lalu.

“Hubungan mereka kemudiannya diteruskan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Wanita berkenaan diperdaya dengan mengatakan suspek akan menjaganya, mangsa melakukan 184 kali transaksi pemindahan wang dalam pelbagai jumlah dengan menggunakan 19 akaun bank kepada lelaki ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut beliau, wanita berkenaan tidak bekerja dan dia menggunakan wang peninggalan mendiang suaminya yang merupakan ahli perniagaan untuk dipindahkan kepada suspek.

Tambahnya, pihak polis masih sedang berusaha mengesan suspek dan percaya modus operandi membabitkan kes itu sering digunakan oleh lelaki warga Nigeria untuk memperdayakan wanita di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI