fbpx

Minnie Mouse sambut kehadiran murid di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Murid-murid teruja menerima tisu basah daripada Minnie Mouse di SK Tengku Zainun, pagi ini. /FOTO NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN – Pelbagai cara dilakukan oleh guru bagi memastikan murid-murid ceria hadir di hari pertama sesi persekolahan meskipun mereka terpaksa ‘berkorban’ menyarung maskot.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun, di sini, seorang guru kaunseling, Nur Sabrina Roslan, 38, sanggup menyarung maskot Minnie Mouse seawal pukul 6.30 pagi bagi menyambut kira-kira 450 murid termasuk 68 murid tahun satu.

Menurutnya, usaha menyarung maskot serta menyediakan saguhati berupa tisu basah kepada setiap murid itu dilakukan dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah (PSS) Rangers sekolah berkenaan bagi memastikan tiada murid yang menangis ketika hari pertama persekolahan.

“Kami mahu wujudkan persekitaran sekolah yang ceria supaya murid-murid lebih selesa di sekolah dan dapat mengikut sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara lebih menarik. Usaha kami membuahkan hasil apabila tahun ini tiada murid yang datang dalam keadaan menangis dan kesemuanya kelihatan ceria.

“Malah, saya lihat usaha menyewa maskot dengan harga RM50 juga berbaloi apabila dapat lihat wajah ceria dan tanpa rasa takut murid ke sekolah yang kemungkinan disebabkan mereka juga rindu untuk belajar secara bersemuka di sekolah,” katanya ketika ditemui di SK Tengku Zainun, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum, Zainidar Idris dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Sarjan Elfarina Mohamad Nor.

Sebagai rekod, seramai 190,602 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan di Negeri Sembilan tahun ini, daripada jumlah tersebut seramai 106,139 murid sekolah rendah dan baki selebihnya 84,463 pelajar sekolah menengah. -KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI