fbpx
HASHIMAH menunjukkan khemah kenduri perkahwinan anaknya yang rosak akibat ribut di Felda Sungai Tiang, Pendang kelmarin.

Khemah kenduri diterbang ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG – Pasangan suami isteri trauma dengan kejadian ribut yang telah merosakkan rumah dan barangan kenduri perkahwinan anak mereka di Felda Sungai Tiang, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Hashimah Hashim, 56, dan suaminya, A Ghani Darus, 64, sedang sibuk mengemas selepas selesai majlis perkahwinan anak ketiga, Nur Haslina, 24, dan suami, Mohd Alif Milhan, 27.

“Saya di dalam rumah tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat jadi saya jerit suruh anak-anak dan cucu-cucu keluar kerana lihat bumbung rumah tercabut.

“Kejadian itu berlaku sekelip mata, pada mulanya hanya renyai-renyai dan tiba-tiba lebat ketika angin kencang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, mereka trauma tambahan melihat sebuah khemah kenduri bergerak bertukar tempat selain dua lagi khemah sudah terpatah kaki.

“Air hujan memenuhi rumah dan barangan hantaran anak juga rosak. Kami harap penyewa khemah di Kuala Nerang tidak mengenakan bayaran lebih mahal kerana kerosakan khemah. Kami perlu juga memikirkan kos membaik pulih rumah,” ujarnya.

ZAITON nyaris ditimpa bumbung rumahnya yang diterbangkan ribut.

Seorang ibu tunggal, Zaiton Jamaludin, 64, pula menceritakan ketika dia berlari keluar menyelamatkan diri, bumbung rumahnya yang tercabut terbang se­perti ingin ke arahnya.

“Terus saya bertukar arah dan jika tidak pasti saya sudah dihempap bumbung itu,” luahnya.

Dalam kejadian itu, lima buah rumah di Felda Sungai Tiang dan enam lagi rumah di Kampung Titi Akar rosak akibat ribut. -KOSMO! ONLINE

POPULAR