CUACA di Padang Hoki Tuanku Abdullah, Kelab Aman, Kuala Lumpur awal pagi itu tenang sekali.
Dari jauh, sekumpulan individu dilihat berjalan dengan laju memegang kayu hoki sambil mengejar sebiji bola. Tatkala bola yang disorong berjaya memasuki petak gol, bunyi sorakan kegembiraan bergema memecah suasana pagi itu.
Dikenali sebagai walking hockey, sukan yang diperkenalkan oleh Kelab Hockey-Lah awal tahun lalu itu mula menjadi sebahagian daripada aktiviti riadah segelintir individu pada hujung minggu.
Biarpun ia masih lagi asing dalam kalangan masyarakat di negara ini, namun sukan yang baru tiga tahun diperkenalkan di peringkat global itu sebenarnya sudah meniti populariti di negara-negara luar seperti England dan Amerika Syarikat.
Corak permainan yang lebih santai, tidak memerlukan stamina yang tinggi dan menyeronokkan menyebabkan ia dipilih untuk dijadikan sebagai sukan riadah atau aktiviti keluarga pada hujung minggu.
Siapa sangka, bermula dengan mengusahakan kedai barangan sukan hoki, dua individu yang merupakan pengasas kelab tersebut, Siti Fatimah Sariman dan Mohd. Iqbal Ilias berjaya memperkenalkan walking hockey dalam kalangan masyarakat di sekitar Lembah Klang menerusi program yang dianjurkan oleh Kelab Hockey-Lah, sebuah kelab hoki sosial.

Menurut Mohd. Iqbal, program tersebut sebenarnya diperkenalkan khas buat pemain-pemain yang sudah lama meninggalkan sukan hoki, tetapi mahu bergiat aktif kembali.
“Menerusi program ini, kami mahu menerapkan keseronokan dalam sukan hoki bagi menggalakkan lebih ramai individu dewasa bermain semula.
“Sepanjang penganjuran program, ia telah memberi manfaat kepada pemain-pemain yang terkesan daripada pandemik Covid-19 yang membuatkan mereka berada dalam fasa baik pulih tahap kesihatan mereka seperti sebelumnya.
“Pun begitu, sejak program ini dibuka, ia turut mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang awam yang berminat untuk menyertainya,” kata Mohd. Iqbal.
Menurut beliau lagi, corak permainan yang mudah difahami dan tidak memerlukan kudrat yang banyak menyebabkan ia sesuai dimainkan oleh semua lapisan masyarakat, biarpun mereka tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai sukan hoki.
Apa yang penting, individu perlu mengetahui kawasan yang perlu mereka berada ketika di dalam padang sewaktu permainan berlangsung.
“Walking hockey mempunyai keunikan tersendiri kerana permainan ini menguji pemain berfikir bagaimana hendak menyusun langkah agar dapat menjaringkan gol dalam masa singkat.
“Berbanding hoki biasa yang dimainkan dalam keadaan berları pada kebanyakan masa, pemain perlu berfikir dengan cepat.
“Selain itu, ketepatan semasa menghantar bola adalah penting supaya bola tidak terlepas, memandangkan pemain tidak boleh berlari,” ujarnya.

Pun begitu tambah Mohd. Iqbal, individu yang mempunyai stamina dan fizikal lebih cergas akan lebih menyukai hoki biasa memandangkan ia lebih menguji tahap kecergasan fizikal memandangkan permainannya lebih laju.
Ujarnya, biarpun dimainkan secara berjalan, namun corak permainan walking hockey mempunyai asas yang hampir sama dengan hoki padang.
“Permainan ini memerlukan lima pemain dalam satu pasukan dan pemain hanya dibenarkan berjalan sepanjang tempoh permainan.
“Bagaimanapun, cara untuk menjaringkan gol sedikit berbeza dengan permainan hoki biasa.
“Ini kerana, ketiadaan penjaga gol menyebabkan bola perlu dijaringkan di dalam kawasan yang ditanda iaitu pada bahagian kiri dan kanan gol,” terangnya.
Dalam pada itu Siti Fatimah berkata, walking hockey tidak susah untuk dimainkan kerana ia hanya memerlukan tempat yang lapang untuk bermain.
Jelasnya, jika di England, walking hockey ada dimainkan di dalam kawasan sekolah dan di atas simen.
“Bahkan peraturan dalam walking hockey ini juga boleh diubah suai mengikut kesesuaian tempat bermain dengan syarat utama, pemain tidak dibenarkan berlari, memukul atau mengangkat bola.
“Jadi, kami amat menggalakkan lebih ramai di luar sana, jauh dari Lembah Klang khususnya untuk memulakannya,” ujarnya.
Katanya, selain mempromosi walking hockey kepada umum, pihaknya turut mengadakan latihan hoki padang kepada mereka yang berminat.
Untuk itu katanya, Kelab Hockey-Lah membuka klinik hoki bagi kanak-kanak seawal usia empat tahun dan dewasa menerusi dua keahlian iaitu Academy dan Adult.
Di kelab ini ujarnya, proses pembangunan hoki berdasarkan tiga teras utama iaitu kemahiran teknikal, kelajuan permainan dan kemahiran kognitif.
“Kami akan menititikberatkan asas penguasaan dan memanipulasi bola.
“Melalui program akademi kendalian Kelab Hockey-Lah, kami menanam visi untuk melahirkan pemain hoki yang menguasai dan mengaplikasi tiga kemahiran yang kita cuba terapkan.
“Misi kami adalah untuk menguasai semua arena hoki kebangsaan pada tahun 2030 termasuk Liga Hoki Remaja Kebangsaan dan Liga Hoki Kebangsaan pada tahun 2030,” tuturnya.
Siti Fatimah menambah, biarpun popular di negara-negara luar, namun tidak dinafikan sukan hoki secara amnya agak kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di negara ini dibandingkan dengan sukan-sukan lain.

Jelasnya, kurang pendedahan dalam sukan ini di peringkat sosial dan akar umbi mungkin salah satu sebab ia kurang popular.
Tambahan pula, kebanyakan masyarakat luar menganggap sukan hoki adalah eksklusif dan tidak boleh dimainkan di tempat-tempat lain seperti padang rumput mahupun ‘padang’ simen.
“Sukan hoki juga dianggap satu sukan yang high pace, dimainkan pada kelajuan permainan atlet yang masih aktif.
“Kami temui ramai pemain yang sudah ‘gantung kayu’ kerana mereka berasa tidak lagi larat atau kurang berupaya untuk menikmati keseronokan sukan ini sebagaimana ketika di usia remaja.
“Tidak kurang juga terdapat persepsi yang mengatakan sukan hoki agak berbahaya.
“Ini tidak benar sama sekali kerana setiap sukan mempunya risiko kecederaan tersendiri.
“Ia boleh berlaku apabila kita tidak mematuhi peraturan keselamatan yang diberikan oleh badan induk sukan tersebut atau pemain itu sendiri yang tidak mengamalkan cara asas bersukan yang betul,” tambahnya.
Ujarnya, tanggapan itu perlu diubah memandangkan hoki merupakan sukan menarik dan menggunakan seluruh kebolehan dan kemahiran tubuh.
Katanya, ia sangat bagus bagi individu yang mempraktikkan gaya hidup sihat.
Menurutnya, kekurangan kemudahan bukanlah satu-satunya sebab kenapa sukan hoki kurang dimainkan.
Jika sukan ini ingin mendapat tempat di hati umum, individu-individu yang merupakan peminat sukan hoki boleh memulakannya dalam komuniti dengan menggalakkan anak-anak dan ibu bapa untuk terlibat sama.
“Ia boleh dimulakan dengan penganjuran program mesra komuniti seperti walking hockey yang menggalakkan ibu memahami sukan yang dimainkan oleh anak-anak dan suami,” ujarnya.














