fbpx
SOPHIA ALBARAKBAH

‘Lelaki songsang perlu bantuan, bukan hinaan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMANYA kian menjadi sebutan ramai impak watak seorang isteri bernama Cahaya Malaika yang bersuamikan lelaki bernafsu songsang dalam drama rantaian, Suamiku Lelaki Pendosa. Sophia Albarakbah, 29, tidak menyangka penglibatan sebagai bintang utama naskhah arahan Eyra Rahman itu membuatkan penonton lebih menyedari kehadirannya dalam industri seni tanah air.

Disebabkan karakter Cahaya Malaika, ramai yang mengagumi bukan hanya kejelitaan dan bakat lakonannya bahkan mula melabel dirinya sebagai antara pelapis pelakon air mata tanah air.

“Nak keluarkan air mata di set penggambaran bukan senang untuk saya pada mulanya. Saya masih ingat lagi waktu mula-mula masuk set, kalau ada adegan air mata, saya akan gemuruh.

“Pendekatan yang saya gunakan adalah saya kena ada seseorang sentuh saya dan dapat rasa getaran, barulah saya boleh menitiskan air mata secara semula jadi.

“Saya akui, mula-mula memang susah tapi lama-kelamaan, dah jadi satu kebiasaan dan saya boleh buat dengan baik, insya-Allah,” katanya kepada Pose usai sesi fotografi khas baru-baru ini.

MULA dibidik perhatian impak kejelitaan yang diwarisi daripada perkahwinan campuran, pesona Sophia Albarakbah juga terserlah menerusi lakonan air matanya dalam naskhah Suamiku Lelaki Pendosa.

Impak Cahaya Malaika

Mengulas tentang penerimaan positif orang ramai tentang keberkesanan karakter Cahaya yang dimainkannya, Sophia yang berketurunan Melayu, Cina dan Arab berasa sangat terharu dan berjanji untuk terus memberikan yang terbaik buat para penyokongnya.

“Saya tak jangka pun orang lebih kenal siapa Sophia Albarakbah sebab drama ini.

“Dalam fikiran, saya hanya nak buat yang terbaik untuk watak Cahaya dan kalau penonton suka, saya sangat menghargainya.

“Sungguhpun begitu, saya nak ucapkan terima kasih buat mereka yang banyak memberi tunjuk ajar dan peluang.

“Buat pengarah Erya Rahman, dia berjaya mencungkil bakat saya terutama yang melibatkan adegan-adegan air mata atau emosi.

“Selain pengarah, saya beruntung kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Shima Anuar, Fauzi Nawawi, Gambit dan ramai lagi dalam drama ini.

“Mereka semua pelakon hebat dan saya seorang sahaja orang baharu. Jujur saya cakap, mereka semua banyak membantu dan tak lokek ilmu,” tutur Sophia.

SOPHIA tidak melihat kekerasan sebagai pendekatan mengubah pendirian orang lain. Lebih baik berlembut, namun tegas dalam setiap keputusan.

Kalau suami gay?

Ditebak pertanyaan sekiranya apa yang berlaku kepada Cahaya iaitu bersuamikan lelaki gay terjadi dalam kehidupan sebenar, pendekatan akan digunakan Sophia adalah serupa seperti dalam naskhah iaitu berpegang pada kebaikan atau kelembutan.

Katanya, paparan dalam drama berkenaan mungkin tidak selalu diperdebatkan secara umum situasi tersebut sebenarnya terjadi dalam masyarakat kita.

“Saya tak pernah berkawan atau menjalin hubungan dengan lelaki bernafsu songsang tetapi ada kawan-kawan yang diuji dengan perkara sebegitu dalam hidup. Lelaki macam ‘Dean Ilyas’ perlukan bantuan, bukan dibuang atau penghinaan.

“Cuma mungkin kita tak cakap secara terang-terangan sebab benda-benda begitu bersifat tabu dan stigma masyarakat di Malaysia sangat tebal.

“Kita tak ‘open’ sangat apatah lagi nak bercakap tapi kita kadang-kadang lupa masalah ini perlukan penyelesaian.

“Kalaulah apa yang berlaku kepada Cahaya berlaku dalam kehidupan sebenar saya, pendekatan yang saya minta dijauhkan adalah kekerasan.

“Berkeras takkan ubah seseorang, lebih baik guna pendekatan berlembut.

“Saya percaya, mereka tak minta dilahirkan dengan nafsu sebegitu.

“Daripada kita gunakan kekerasan, menghukum dan mencaci, lebih baik kita beri sokongan untuk mereka berubah ke jalan lebih baik.

“Apa yang Cahaya tunjukkan dalam drama, mungkin boleh dijadikan iktibar buat mereka yang dibelenggu permasalahan sama.

“Guna kelembutan macam Cahaya, namun dalam kelembutan ada ketegasan dalam tindak-tanduk dan keputusan,” ujarnya.

TENTANG ciri-ciri lelaki idaman, Sophia mengakui lebih seronok jika dipertemukan dengan seseorang yang kelakar, matang dan boleh menerima sifat keanak-anakan dalam dirinya.

Ciri-ciri bakal suami

Dijentik persoalan tentang perihal peribadi, sama seperti wanita dewasa lain, Sophia juga pernah melalui fasa percintaan, namun tidak semua apa yang diimpikan menjadi debunga bahagia.

Sekarang, adalah waktu terbaik buat dirinya memberikan perhatian dan fokus 100 peratus terhadap lakonan yang semakin mekar.

“Sekarang saya single. Kalau dah kahwin nanti, barulah tak single lagi,” ujarnya dengan senyuman berseloroh.

Pernah bercinta, namun tidak seperti diharapkan, dedah Sophia, namun suhu hubungannya dengan bekas kekasih masih dalam terma baik.

Ujarnya: “Putus secara baik dan kami masih bersahabat. Kami pun rapat dengan keluarga masing-masing.

“Umur saya dah 29 tahun. Tidak mengapalah, age is just a number (umur itu hanya angka). Sekarang nak fikir kerjaya dahulu.

“Soal jodoh nanti kalau dah sampai, kita ikut sahaja macam mana pergi dan alirannya.”

Ketika dilontarkan pertanyaan tentang ciri-ciri lelaki yang mudah mencairkan hatinya, lulusan Dietetik Klinikal dan Pemakanan itu memaklumkan, salah satu ciri wajib yang perlu ada dalam diri lelaki itu adalah kelakar.

“Sudah tentu orang perempuan nak lelaki yang bertanggungjawab dan penyayang. Saya pun nak macam itu.

“Selain itu, kalau kelakar pun seronok dan saya sukakan orang yang bijak.

“Seseorang yang saya boleh berborak dengannya tentang apa sahaja.

“Pada masa sama, saya idamkan lelaki yang matang dan boleh terima sifat keanak-anakan saya,” katanya menggulung temu bual.

Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI Solekan & Rambut: EL MANDA ZUHAIRY Tatarias R.D IDEWANI ZAINI
Busana: WAN & MARY (UNGU), YUMI MARINA (NEON)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN