fbpx

Aktiviti sukan, kokurikulum secara bersemuka di sekolah dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka di kawasan sekolah yang melibatkan guru serta murid sekolah berkenaan adalah dibenarkan mulai 21 Mac ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah membuat beberapa penambahbaikan ke atas tatacara pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum di dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Katanya, ini termasuklah membenarkan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum yang melibatkan individu atau berkumpulan secara bersemuka di kawasan sekolah.

“Dalam hal ini, guru, jurulatih atau pengajar yang terlibat dalam aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka bersama murid hendaklah lengkap divaksin.

“Annex berkaitan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum ini boleh diperoleh melalui pautan https://www.moe.gov.my/muat-turun/kenyataan-media/km2022/5084-annex-sukan-kokurikulum-bersemuka-kpm/file,” katanya hari ini.

KPM berkata, pihaknya turut membenarkan penganjuran aktiviti, pertandingan atau kejohanan sukan dan kokurikulum.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya adalah terhad dalam kawasan sekolah dan hanya melibatkan murid, guru, jurulatih atau pengajar sekolah berkenaan sahaja.

“Pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam kawasan sekolah yang melibatkan agensi luar pula perlu mendapat kebenaran KPM.

“Dalam hal ini, KPM berhak membatalkan sebarang penganjuran atau penyertaan dalam aktiviti, pertandingan sukan dan kokurikulum jika didapati penganjur tidak mengikut ketetapan KPM,” katanya.

KPM turut menegaskan bahawa semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka dalam kawasan sekolah hendaklah mematuhi garis panduan Annex Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum.

Menurutnya, ia juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara.

“Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

“KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI