fbpx
REMY ISHAK

Takut kenan watak kejam, Remy belum sedia ada anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pelakon Remy Ishak memaklumkan dia belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata sulung biarpun sebelum ini timbul desas-desus mengatakan isterinya, Ezza Yusof sedang berbadan dua.

Menurut aktor berusia 40 tahun itu, dia seboleh-bolehnya dia tidak mahu menimang anak buat  masa sekarang kerana bimbang terbawa-bawa dengan watak lelaki dan suami kejam bernama Zafran Zahim yang masih dalam proses penggambaran ketika ini. 

“Buat masa sekarang belum ada rezeki lagi. Sebenarnya saya takut juga, takut bawa watak ini dan kemudian isteri mengandung. 

“Watak Zafran banyak dialog marah-marah ditambah pula beremosi dapat anak cacat. Baru-baru ini tular peminat nampak ‘baby bump’ isteri. Saya bimbang dan tanya isteri tetapi dia beritahu tidak mengandung. 

“Mungkin baju yang dipakainya besar dan orang (peminat) teruja,” katanya. Remy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ketika temu bual menerusi maya sempena promosi drama terbaharu lakonannya bersama Amyra Rosli, Jangan Menangis Cinta di sini semalam.

Pemilik nama lengkap Muhammad Zalimei Ishak memberitahu, disebabkan sedang menjayakan watak bapa yang membenci anaknya sendiri, dia berharap isterinya tidak hamil buat masa sekarang kerana bimbang terkenan pada bayi sendiri kelak.

“Dulu saya tak percaya sangat (terkenan) tapi lepas jumpa orang dan dengar macam-macam cerita, baru percaya. Jadi buat masa sekarang, jangan. Mungkin tahun depan, selepas selesai penggambaran watak Zafran,” katanya. 

Drama Jangan Menangis Cinta adaptasi daripada novel berjudul sama hasil tulisan Siti Rosmizah akan menemui penonton bermula 21 Mac ini menerusi saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.

Baru-baru ini, nama Remy menjadi bahan bualan ramai apabila mereka mendakwa ternampak ‘baby bump’ Ezza, 39, dalam sebuah video ketika memperagakan sepasang kasut jenama miliknya. Pasangan itu bernikah pada 21 Ogos tahun lalu selepas lapan tahun menyulam bercinta.  – KOSMO! ONLINE

POPULAR