fbpx
Ahmad Marzuk (tengah) melancarkan buku Gerbang Perkahwinan Edisi Ketiga sempena Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk seluruh negara kali ke-44 di Langkawi, hari ini.

Pasangan dinasihat guna saluran betul nikah di Siam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Pasangan yang merancang untuk berkahwin di Thailand apabila pintu sempadan dibuka pada 1 April ini dinasihatkan supaya menggunakan saluran yang betul bagi mengelak berlaku kesulitan dalam perkahwinan kelak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, mereka perlu berhati-hati dan tidak mengambil jalan mudah dengan menggunakan ejen atau sindiket nikah Siam.

“Apa yang paling penting adalah ikut cara dan saluran yang betul kerana pendaftaran perkahwinan yang menepati sudut perundangan akan menjamin hak semua pihak.

“Ikut saluran yang betul, tidak kira lah nak kahwin di London, US (Amerika Syarikat) atau Thailand kerana ia akan menjamin hak semua pihak termasuk suami, isteri dan soal daftar kelahiran anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk (KPNCR) seluruh negara kali ke-44 di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut menekankan kepentingan kursus pra perkahwinan yang menitikberatkan lelaki yang mempunyai ciri-ciri qawwam.

“Lelaki yang qawwam antaranya ialah bertanggungjawab menyediakan bukan sahaja keperluan fizikal keluarganya seperti makan pakai dan tempat tinggal, malah menekankan aspek pendidikan awal di rumah untuk anak-anak,” ujarnya.

Tambahnya, garis panduan lelaki qawwam telah dikeluarkan dan boleh diaplikasikan oleh penganjur kursus pra perkahwinan di seluruh negara.

Pada majlis sama, Ahmad Marzuk turut melancarkan buku Gerbang Perkahwinan Edisi Ketiga terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang menjadi panduan dan rujukan utama kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. – KOSMO! ONLINE

POPULAR