AMPANG – Bunyi dentuman kuat seperti letupan bom sebanyak dua kali akibat kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini kelmarin telah mengejutkan penduduk sehingga mereka terpaksa lari keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
Dentuman kuat yang berlaku kira-kira pukul 5 petang itu berjaya mengelakkan lebih ramai mangsa terbunuh dan cedera dalam kejadian tersebut yang meragut empat nyawa akibat tertimbus di dalam tanah, manakala seorang lagi cedera ringan.
Mereka yang maut ialah Chong Siew Kim, 85, E. Ramasamy, 58, A. Mahendran, 36, dan Mohd. Saiful Ridzuan Ishak, 37.
Seorang lagi mangsa cedera iaitu Cheng Kim Cheng, 85, masih menerima rawatan di Hospital Ampang Jaya.
Seorang penduduk, Wong Hon Wah, 67, memberitahu, dia dan suami, Tan Hon Meow, 70, sempat melarikan diri dengan membawa dua orang cucu mereka melalui pintu belakang rumah selepas terdengar bunyi dentuman kuat tersebut.
“Kami sekeluarga bersama anak-anak dengan dua cucu baru sahaja ingin makan malam, tiba-tiba terdengar bunyi letupan itu dan tanah sudah mula bergerak sehingga ke depan rumah.
“Tidak sempat berbuat apa-apa, suami saya terus membuka pintu belakang dan membawa kesemua ahli keluarga ke tempat yang lebih selamat,” kata Hon Wah kepada Kosmo! semalam.
Menurut Hon Wah, selama 35 tahun mereka menetap di kawasan berkenaan, kejadian itu adalah kali pertama berlaku.

Hamidah menunjukkan rumahnya yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang.
Seorang lagi penduduk, Joeanne, 40, pula terkejut dan panik ketika berhadapan dengan situasi cemas itu.
“Sewaktu kejadian, saya duduk di bilik belakang rumah dan terkejut apabila terdengar satu bunyi letupan yang amat kuat seperti bom.
“Saya terus menghubungi jiran di hadapan rumah kerana dia sudah tua dan duduk seorang diri. Mujurlah dia sempat selamatkan diri sebelum gelinciran tanah kali kedua berlaku,” katanya.
Sementara itu, Hamidah Husin, 57, berkata, dia seolah-olah masih tidak percaya kawasan perumahan yang didiaminya selama 20 tahun itu terlibat dalam kejadian tanah runtuh.
Menurutnya, peristiwa hitam itu hampir meragut nyawa keluarganya apabila rumahnya turut tertimbus.
“Pada hari kejadian, saya pergi ke dobi walaupun keadaan hujan ketika itu sangat lebat, manakala suami bersama tiga lagi anak berada di rumah.
“Selang 10 minit, saya menerima panggilan daripada anak bongsu, Ainaa Athirah, 24, yang memaklumkan rumah kami terkena runtuhan tanah dan selepas itu, saya tidak dapat menghubungi mereka semua.
“Saya hanya memikirkan mengenai nyawa mereka sehingga badan saya seakan-akan tidak boleh bergerak mengenang nasib mereka di rumah. Nasib semuanya selamat,” katanya.

Saifudin membersihkan halaman rumah yang dipenuhi lumpur selepas kejadian tanah runtuh di Taman Permai 2, Ampang semalam.
Saifudin Abdul Rahman, 53, berkata, sewaktu kejadian, dia yang sedang memandu e-hailing mendapat panggilan daripada anaknya untuk pulang segera.
“Saya bergegas pulang, nasib mereka selamat,” ujarnya.
Dakwanya, dia kesal dengan kejadian yang berlaku kerana aduan telah dibuat kepada pihak berkaitan mengenai terdapat pergerakan tanah di kawasan terbabit pada Disember tahun lalu, namun tiada tindakan susulan diambil.
















