fbpx

Macam wanita hamil yang nak makan sabun – Elfira Loy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELFIRA LOY menjelaskan tindakannya melompat di atas platform kolam renang yan dikecam netizen kerana sedang hamil,

PETALING JAYA – Sejak mengumumkan kehamilan keduanya pada Oktober tahun lalu, setiap gerak-geri pelakon cantik, Elfira Loy pasti menjadi tumpuan ramai.

Terbaharu, tindakan berani matinya melompat di kolam renang sambil memakai kasut tumit tinggi berukuran lima inci di sebuah pusat peranginan terkemuka ketika bercuti bersama keluarga tersayang mendapat kecaman ramai.

Rata-rata netizen meluahkan kerisauan dan rasa bimbang terhadap keselamatan diri dan anak perempuan yang dikandung pelakon itu.

“Tahulah awak tu bekas atlet, tapi bahaya tu. Buatnya terjatuh tergolek tak pasal-pasal risiko buat awak dan anak dalam kandungan.

“Berani betul ya sekarang. Makin sarat makin galak. Berhati-hati El, awak tu berbadan dua. Tak pasal-pasal tiada masalah jadi masalah nanti.

“Dia yang lompat aku yang kecut perut. Kenapa si El ni, dah kurang tabiat atau kerasukan ke,” tulis netizen yang rata-rata terkejut dengan tindakan spontannya itu.

Tidak berdiam diri, Elfira tampil menjelaskan situasi sebenar, sekali gus meleraikan persoalan, kecaman dan tanda tanya yang dilemparkan terhadapnya.

Kata Elfira, sebelum melompat, dia sudah memikirkan perkara tersebut sedalam-dalamnya berulang kali dan yakin untuk melakukan perkara tersebut demi kepuasan sendiri.

“Saya sudah fikir semalaman untuk buat atau tidak tetapi untuk bekas atlet lompat jauh, saya rasa itu kacang saja.

“Apabila sudah sampai rasa kecut perut pula. Tapi perasaan memang nak sangat. Saya rasa mengidam nak lompat sebab sudah lama rancang untuk lompat.

“Kalau fikir, kalau jadi apa-apa macam mana. Banyak lagi ‘kalau’ dekat semua benda boleh terjadi. Saya percaya Allah pasti lindungi,” tulisnya.

Pada hantaran sama, pelakon drama Tentang Bulan itu turut menyifatkan perasaannya yang ghairah untuk melompat tidak ubah dan diibaratkan sama seperti wanita hamil yang teringin untuk makan sabun.

Rentetan masih ada kecaman dan komen-komen kurang enak yang terus menerus menimpanya, Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 28, bertegas, enggan mempedulikan pendapat negatif tersebut.

“Seiring dengan usia saya, apa yang saya nak sampaikan, kecaman itu adalah daripada diri anda. Tak payah salahkan orang lain.

“Benda yang baik, yang elok tak ada pula anda sibuk nak komen,” katanya.

Terdahulu pada Oktober tahun lalu, Elfira mendedahkan berita gembira apabila hamil anak kedua hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Faris Khairul Anuar.

Bagaimanapun ketika itu, dia tidak berkongsi usia kandungannya kepada umum. Elfira juga bersyukur kerana Tuhan mengabulkan impiannya untuk mempunyai anak perempuan sejak daripada kehamilan pertama lagi.

Untuk rekod, Elfira mendirikan rumah tangga bersama Faris pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki Muhammad Rayyan Khalaf pada Oktober tahun sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI