fbpx

TFC kecewa tiga aksi awal di tempat lawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NAFUZI dan anak-anak buahnya terpaksa akur beraksi tiga perlawanan awal di gelanggang lawan selepas beberapa aksi terpaksa ditunda akibat pandemik Covid-19. – TFC

TERENGGANU FC (TFC) telah melakukan permohonan rasmi kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mempertimbangkan perubahan jadual melibatkan pasukan itu pada bulan depan.

Ketua Pegawai Operasi TFC, Mohd. Sabri Abas berkata, permohonan itu dibuat berikutan TFC terpaksa mengharungi sepak mula Liga Super di tempat lawan pada tiga perlawanan awal.

Beliau berkata, penundaan perlawanan menentang Sri Pahang pada 5 Mac lalu dan dua aksi bertemu Negeri Sembilan FC bagi saingan Liga Super dan Piala FA menyebabkan TFC perlu menunggu sehingga bulan April untuk beraksi buat kali pertama di laman sendiri.

“Tiga aksi selepas itu secara berturut-turut di gelanggang lawan. Ia tidak adil dan boleh menjejaskan prestasi dan ren­tak pasukan yang telah melakukan persiapan rapi sebelum ini.

“Memang kecewa kerana barisan pemain sudah bersedia, namun kami perlu akur kerana situasi ini di luar jangkaan dan boleh berlaku kepada mana-mana pasukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Penundaan aksi bertemu Sri Pahang dan Negeri Sembilan memaksa TFC menanti sehingga 6 April ini untuk memulakan aksi Liga Super bertemu PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Ia disusuli pertemuan de­ngan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 April dan Sarawak United tujuh hari kemudian juga di tempat lawan sebelum menerima kunjungan Selangor pada 24 April ini.

Sehubungan itu, Mohd. Sabri berkata, pihaknya menghantar surat rasmi kepada MFL bagi menilai semula jadual TFC pada April agar lebih adil kepada skuad Sang Penyu.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, TFC juga kecewa apabila perlu beraksi tiga perlawanan terakhir Liga Super secara berturut-turut di gelanggang lawan.

“Kita khuatir jadual itu mungkin boleh menjejaskan kedudukan terakhir skuad Sang Penyu dalam liga. Berdasarkan jadual, TFC perlu bertemu Melaka United, KL City FC dan Kedah di hadapan penyokong mereka bagi menutup kempen Liga Super musim ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI