fbpx

Kerajaan sedia lot rumah untuk generasi kedua Felda miliki kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) menyerahkan mock cek Geran Rukun Tetangga Negeri Johor kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani (kanan) pada majlis penyampaian Geran Rukun Tetangga Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di Kompleks Sukan Komuniti, Felda Lok Heng di sini, hari ini. - FOTO: FARIZ RUSADIO

KOTA TINGGI – Bagi membantu generasi kedua Felda memiliki kediaman sendiri, kerajaan tidak lagi menjual rumah yang siap dibina selepas ini.

Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menyediakan lot-lot rumah bagi generasi kedua membina sendiri rumah mereka menerusi kerjasama kerajaan negeri.

Ini kerana kata Ismail Sabri, sebelum ini kebanyakan rumah siap yang telah dibina oleh generasi kedua Felda oleh pihak pemaju ada yang tidak mampu dibeli oleh mereka kerana harga yang mahal dan masalah kelulusan pinjaman daripada pihak bank.

“Dulu Felda bina rumah, namun banyak isu yang timbul antaranya rumah yang telah siap tetapi tidak mampu dibeli oleh generasi kedua Felda terutamanya yang bekerja sendiri, tiada slip gaji, jadi permohonan mereka dengan bank banyak ditolak.

“Ada juga isu rumah dah siap tetapi tidak dapat membelinya dan orang tidak sepatutnya membeli telah membeli rumah tersebut dan menyewanya semula kepada generasi kedua Felda. Ini bukan perancangan asal Felda,” katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di sini hari ini.

Justeru Ismail Sabri berkata, bagi mengelakkan masalah seperti itu, kerajaan telah memperkenalkan konsep bahari iaitu tidak lagi menjual rumah siap, tetapi akan menjual lot-lot tanah kepada generasi kedua Felda membina rumah mereka sendiri.

“Kalau di Johor kerajaan negeri telah menyediakan kira-kira 3,200 lot untuk generasi kedua membina rumah, manakala kerajaan pusat akan membina infrastruktur bagi memudahkan mereka membina rumah.

“Pada masa sama, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan memperuntukkan kira-kira RM60 juta (iaitu RM30 juta kerajaan negeri dan sebahagian lagi kerajaan pusat) bagi pembinaan infrastruktur khusus untuk perumahan generasi kedua Felda,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI