fbpx

Antara seronok, cabaran Rashidi Ishak jadi peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pelakon hebat dan popular seperti Ben Amir (kanan) dan Daiyan Trisha (tengah) membuatkan Rashidi tidak ingin menolak tawaran membintangi drama Tetuan Ang & Rahimin.

PESONA dan kredibiliti aktor Rashidi Ishak tak perlu disangkal dalam apa jua jenis karya yang pernah meminjam bakatnya. Apa pun jenis karakter yang diberikan kepadanya, pasti dijayakan dengan sempurna.

Biarpun sudah berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri dan mencuba pelbagai watak termasuklah genre komedi, namun Rashidi tetap sama seperti pelakon lain.

Sebelum memasuki set penggambaran, aktor itu mempersiapkan diri dengan ilmu yang sepatutnya sesuai dengan watak yang diberikan kepadanya.

Itulah yang dilakukan Rashidi, 48, sebelum memulakan penggambaran drama terbaharunya, Tetuan Ang & Rahimin yang berlatar belakang kisah tentang dunia dan kehidupan peguam.

Memegang watak sebagai Ang ujar Rashidi, karakter tersebut sebenarnya merupakan kesinambungan jalan cerita drama iTanggang: Mother of All Lies yang tamat siaran pada November tahun lalu.

WALAUPUN berlatar belakang kisah perundangan, namun kata Rashidi, Tetuan Ang & Rahimin bukanlah naskhah yang terlalu berat untuk diterima penonton.

“Drama Tetuan Ang & Rahimin merupakan dunia yang berbeza daripada iTanggang, tetapi masih diceritakan dalam wilayah bandar mega. Bandar fiksyen yang direka untuk cerita ini,” ujar Rashidi ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Demi menjayakan watak seorang peguam, selain menjadikan siri popular antarabangsa sebagai rujukan, pelakon itu turut menjadikan kehidupan sebenar rakan-rakan di sekelilingnya sebagai inspirasi.

Memberi nilai tambah, dirinya sendiri pernah menuntut pengajian dalam bidang undang-undang.

“Saya belajar undang-undang, jadi secara langsung ada kena-mengena dengan watak ini. Malahan, saya ada ramai kawan-kawan bekerja sebagai peguam.

“Dari situ, saya tahu bagaimana kehidupan mereka. Jadi, watak Ang hasil garapan daripada kehidupan sebenar rakan-rakan dan orang yang dikenali,” katanya lagi.

Teruja, sisi berbeza Daiyan

Meskipun mengambil inspirasi daripada rakan-rakan, namun Rashidi tetap berhati-hati kerana menjayakan sebuah drama berlatar belakang undang-undang bukannya mudah.

“Cabaran ketika menjayakan drama ini adalah kami sebagai pelakon perlu berhati-hati. Kena jaga integriti profesion peguam.

“Termasuklah dari segi prosedur di mahkamah dan pemakaian. Kena jaga percakapan, contoh seperti akta. Tak boleh salah,” katanya.

Tetuan Ang & Rahimin diarahkan oleh Wan Alauddin dan Wan Hasliza dibarisi pelakon hebat lain seperti Ben Amir, Daiyan Trisha, Anita Baharom dan Ellyas Abdullah.

PERTAMA kali berpeluang bekerjasama dengan Daiyan dalam Tetuan Ang & Rahimin merupakan salah satu faktor mengapa Rashidi tidak menolak tawaran naskhah tersebut.

Selain genre undang-undang yang jarang diketengahkan dalam drama tempatan, Rashidi ketika ditebak tentang faktor yang membuatkan dia menerima tawaran daripada syarikat penerbitan KL Motion Pictures menyuarakan alasan tersendiri.

Katanya, dia sangat teruja ketika kali pertama membaca draf skrip drama itu, apatah lagi selepas mengetahui barisan pelakon yang akan bersamanya sepanjang penggambaran.

“Sangat teruja bila tengok nama barisan pelakon. Kali terakhir saya berlakon dengan Ben sekitar 10 tahun lalu. Sementara Daiyan pula, kami tak pernah bekerjasama.

“Sebenarnya, saya selalu tengok Instagram dia dan kami pernah berinteraksi dalam Twitter. Jadi apabila bekerja dengan dia, sejujurnya saya sangat terkejut (ketawa).

“Sebab pesona dia di luar lain, sangat ‘gempak’. Daiyan Trisha kot. Apabila berlakon sama, baru saya tahu sisi sebenar dia,” ceritanya.

Drama Tetuan Ang & Rahimin yang mula bersiaran sejak 14 Februari lalu menerusi Astro Ria mengisahkan tentang sebuah firma guaman yang hampir mengalami kerugian apabila seorang ketua samseng mengupah mereka melindungi operasi haramnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI