fbpx
Pergaduhan peminat dua kelab bola sepak tempatan Mexico bertukar ganas sehingga menyebabkan kecederaan parah penonton. - AFP

Peminat bola sepak bergaduh, 17 dipercayai maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR RAYA MEXICO – Seramai 17 orang dipercayai terbunuh,  manakala 22 lagi cedera parah selepas pergaduhan besar berlaku melibatkan penonton dalam satu perlawanan bola sepak di Guadalajara, Mexico.

Menurut  akhbar Daily Mail semalam, perlawanan antara pasukan tuan rumah, Queretaro dan juara bertahan, Atlas bertukar buruk pada  minit ke-62 apabila peminat saling bertumbuk antara satu sama lain.

Kekecohan yang bertukar ganas itu  menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan apabila pemain dan penonton yang tidak terlibat,  bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Pergaduhan yang bermula di tempat duduk penonton itu  berlarutan hingga ke tengah padang dengan beberapa mangsa dirakam terbaring dalam keadaan bogel sambil terus disepak oleh peminat yang sedang mengamuk.

Bagaimanapun, Agensi Perlindungan Awam Negeri Queretaro menafikan khabar angin mengenai 17 kematian penonton dan hanya mengesahkan berita tentang kecederaan.

“Setakat ini tiada laporan kematian,  namun terdapat 22 orang cedera, sembilan daripadanya dibawa ke Hospital Besar dan daripada jumlah ini, dua dilaporkan kritikal.

“Mangsa lain berada dalam keadaan stabil. Semua yang cedera ialah penonton lelaki,” kata wakil agensi.

Liga bola sepak divisyen teratas Mexico menggantung semua perlawanan yang dijadualkan semalam..

“Kami kesal dan mengecam insiden yang bertentangan dengan semangat bola sepak kami,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Mexico, Mikel Arriola dalam satu kenyataan. – Agensi 

POPULAR