fbpx
AMD A (jersi merah) muncul juara Kejohanan Bola Sepak ICFL Kelantan B16 selepas menewaskan Grey United 1-0.

AMD A juara Kejohanan Bola Sepak ICFL Kelantan B16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASUKAN Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari A (AMD A) menepati ramalan apabila menjuarai Kejohanan Bola Sepak Inter Club Football League (ICFL) Kelantan bawah 16 tahun (B16) peringkat kebangsaan 2022.

AMD A bergelar juara setelah menumpaskan pasukan Grey United A 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Tanah Merah, Kelantan, manakala tempat ketiga menjadi milik AMD B selepas menewaskan Mutiara Soccer Allstar.

Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar berpuas hati dengan penganjuran kejohanan itu setelah mendapat kerjasama Grey United Football Club, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK).

“Walaupun AMD A menjadi juara, namun saya bangga dengan semua pemain yang bertanding. Mereka telah buktikan bahawa mereka juga setaraf dan setanding dengan AMD A serta AMD B yang mereka jadikan idola selama ini.

“Saya sangat teruja dengan semangat pemain-pemain yang memberikan daya saing di luar jangkaan menentang AMD A dan AMD B sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Selepas ini, Kejohanan Bola Sepak ICFL B16 akan diteruskan ke Zon Timur, Zon Utara dan Zon Tengah (Kuala Lumpur) dengen pemenang daripada empat zon itu akan dihantar bertanding di peringkat Asia.

DANIEL Huzeiry (tengah) dipilih sebagai pemain terbaik Kejohanan Bola Sepak ICFL Kelantan B16.

Tambah Kamil, pihaknya sentiasa menyokong sebarang program pembangunan bola sepak negara dan sedia membantu merealisasikan impian anak-anak muda menjadi pemain profesional.

“Itulah tujuan ICFL anjurkan banyak kejohanan di peringkat zon dan kebangsaan untuk memilih pemain yang berbakat. Dari sini akan lahirlah belia remaja yang ada keazaman untuk bergelar pemain bola sepak professional,” jelasnya.

Sementara itu, jurulatih AMD A, Mohd. Kuizwan Mohd. Johari gembira dengan kejayaan mereka kerana ini adalah kejohanan pertama disertai selepas dua tahun hanya berlatih sahaja disebabkan pandemik Covid-19.

“Ia satu pencapaian yang baik dan saya puji semangat juang mereka pada hari ini. Saya juga bangga kerana Daniel Huzeiry terpilih sebagai pemain terbaik kejohanan.

“Terima kasih ICFL kerana mengadakan kejohanan yang sungguh berprestij ini. Saya harap program sebegini akan berterusan kerana ia perlu diperbanyakkan lagi di Malaysia bagi membantu pembangunan bola sepak negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR